Home / Semasa / Kerajaan peruntuk RM12.63 juta bagi pembangunan industri halal negara untuk 2022

Kerajaan peruntuk RM12.63 juta bagi pembangunan industri halal negara untuk 2022

Kerajaan telah memperuntukkan RM12.63 juta untuk 2022 bagi memperkukuhkan lagi pembangunan industri halal negara, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Senator, Lim Ban Hong.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi projek-projek di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebanyak RM3.9 juta (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (empat projek pembangunan) bernilai RM5.1 juta dan Jabatan Perdana Menteri (tiga projek pembangunan) bernilai RM3.63 juta.

“Selain itu, pembangunan industri halal akan dilonjakkan melalui Pelan Induk Industri Halal 2030 yang menggariskan tujuh teras strategik dengan memberi tumpuan terhadap penghasilan produk dan perkhidmatan bermutu tinggi di sepanjang rantaian bekalan halal.

“Langkah dan usaha ini dijangka akan meningkatkan sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus dan menjana pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion pada 2025 berbanding 6.6 peratus dan RM30.5 bilion pada 2020,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya projek pembangunan industri halal yang dijalankan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mempertingkatkan industri halal merangkumi Pembangunan Kompentensi Modal Insan dan Pengetahuan Sektorial Halal, ‘Halal Home Grown Champion- Sourcing Partnership,’ ‘Malaysia Global Halal Show: Bridging Halal Markets’ dan Program Latihan Industri Halal.

Beliau menjawab soalan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) berhubung projek dan program untuk meningkatkan daya saing industri halal bagi merebut peluang pasaran halal yang lebih besar.

-Bernama

About admin2

Check Also

Iklan Billboard Penuh Muka Founder Produk, Ini Yang Usahawan Patut Belajar Dengan Apple & Android | Article Update

Sekiranya anda berada di lebuhraya, pasti perasan pelbagai iklan terpampang di billboard tepi jalan. Ada …

Leave a Reply

Your email address will not be published.