Home / Semasa / Ketiadaan elektrik, tekanan tidak seimbang punca pintu air tidak dapat dibuka

Ketiadaan elektrik, tekanan tidak seimbang punca pintu air tidak dapat dibuka

SHAH ALAM: Aras banjir mencecah 1.5 meter hingga tiga meter membabitkan hampir 95 peratus kawasan Taman Sri Muda termasuk pintu air, rumah pam serta kolam takungan banjir menyebabkan sistem infrastruktur dan bekalan elektrik terputus sehingga hari ini.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata ketiadaan bekalan elektrik juga menyebabkan pintu air tidak boleh beroperasi dengan sempurna.

“Perbezaan ‘head’ yang tinggi di mana keadaan aras aliran saliran utama Taman Sri Muda masih tinggi termasuk aras banjir sedia ada berbanding paras air Sungai Klang memberi tekanan yang tinggi kepada pintu air itu.

“Jika pintu air mempunyai bekalan elektrik, maka ia dibuka dengan sempurna, namun masalah itu menyebabkan pintu air perlu dibuka secara manual dengan mengambil keadaan risiko pintu air akan rosak dan gagal berfungsi jika ‘shaft’ besi kawalan pintu air bengkok atau berpintal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bertindak meneruskan pengepaman air dari saliran utama sehingga aras yang seimbang bagi mengurangkan tekanan kepada pintu air.

“Pengepaman air banjir di pintu air menggunakan empat unit pam bergerak dengan jumlah kapasiti 960 liter sesaat.

“Secara tidak langsung, pam ini berjaya membantu menurunkan aras banjir di Taman Sri Muda.

“Hari ini, pintu air dibuka untuk mengeluarkan air banjir dari Taman Sri Muda dengan keadaan pintu air nombor satu kekal ditutup bagi tujuan operasi pam manakala pintu air nombor dua dan nombor tiga dibuka sebanyak 0.5 meter,” katanya.

Menurutnya, aras banjir juga memberi kesan kepada rumah pam kekal di Kolam Takungan Banjir Taman Sri Muda untuk berfungsi menyalurkan air banjir.

“Pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tenggelam semasa banjir menyebabkan empat unit pam berkapasiti 2000 liter sesaat dihenti tugas akibat ketiadaan bekalan elektrik,” katanya.

Izham berkata, pengoperasian empat unit pam bergerak di pintu air Persiaran Budiman berjaya menurunkan aras banjir di Taman Sri Muda.

“Ini membolehkan janakuasa bergerak TNB berjaya dibawa masuk ke rumah pam Kolam Takungan Banjir Taman Sri Muda pada jam 4 pagi tadi setelah kenderaan mangsa banjir di sepanjang jalan dialihkan.

“Rumah pam dijangka beroperasi pada hari ini tertakluk kepada proses pengoperasian dan pembaikan komponen mekanikal dan elektrikal rumah pam.

“Krajaan Negeri berharap bekalan elektrik dapat dipulihkan dan disegerakan agar pintu air dapat beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, struktur pintu air berfungsi sebagai struktur kawalan aliran bagi saliran utama Taman Sri Muda dan menghalang kemasukan air Sungai Klang ke saliran utama Taman Sri Muda semasa kesan air pasang tinggi laut (high tide).

“Struktur pintu air ini mempunyai tiga pintu yang berfungsi secara automasi dan pengoperasian bergantung kepada bekalan elektrik daripada TNB,” katanya.

Katanya, taburan hujan luar biasa di Selangor antara 100 milliliter (mm) ke 400 mm secara berterusan mulai 17 hingga 19 Disember itu mengakibatkan banjir di 186 kawasan membabitkan sembilan daerah di Selangor.

sumber BH

About admin2

Check Also

Pelakon Lufya Omar Dibel4sah Lelaki Mencvlik Anaknya, Lihat Apa Terjadi Selepas Itu

“Seorang lelaki Melayu yg bersifat dayus telah memukul saya menggunakan batang kayu di kepala, badan …

Leave a Reply

Your email address will not be published.