Home / Viral / MerdekaMalaysia / Kelonggaran peraturan kuarantin kontak rapat diumum minggu depan
kelonggaran-peraturan-kuarantin-kontak-rapat-diumum-minggu-depan

Kelonggaran peraturan kuarantin kontak rapat diumum minggu depan

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan mengumumkan syarat kuarantin lebih longgar untuk kontak rapat Covid-19 pada minggu hadapan.

Pengumuman itu dibuat ketika gelombang varian Omicron melonjakkan kes di Malaysia ke rekod yang tinggi, tetapi dalam masa sama, bilangan pesakit dengan gejala teruk tidaklah meningkat setinggi itu.

Pada sidang media di Putrajaya hari ini, Khairy berkata bilangan kes yang meningkat bererti semakin ramai orang diklasifikasikan sebagai kontak rapat dan harus menjalani kuarantin.

“Apabila ini berlaku, gangguan kepada ekonomi, kepada pengurusan pekerjaan dan sebagainya sangat-sangat ketara.

“Satu pekeliling telahpun dikeluarkan oleh ketua pengarah kesihatan untuk pekerja-pekerja kesihatan di mana satu protokol baru telah dikenalkan dan bagi mereka yang kontak rapat di kalangan pekerja kesihatan, yang mana tiada gejala, tidak perlu lagi mengasingkan diri (isolate) dan hanya perlu buat ujian pada hari-hari tertentu.

“Kita mungkin akan guna pakai protokol yang sama apabila kita rasa sudah boleh kita melaksanakan protokol baru ini untuk orang ramai,” jelasnya berkenaan pengumuman tersebut.

Buat masa ini, kata Khairy, dia telah meminta ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk memaklumkan kepada sektor kesihatan swasta bahwa mereka boleh mengguna pakai protokol yang sama.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan satu pekeliling yang dikeluarkan pada Selasa, menetapkan bahawa pekerja kesihatan yang dikenal pasti sebagai kontak rapat boleh dikelaskan sebagai berisiko rendah atau berisiko tinggi bergantung pada tahap pendedahan kepada Covid-19.

Satu contoh pendedahan berisiko rendah adalah apabila kedua-dua pesakit dan kontak rapat kedua-duanya memakai pelitup muka, manakala satu contoh pendedahan berisiko tinggi apabila kedua-duanya tinggal di dalam rumah yang sama dan berkongsi bilik air atau dapur.

Antara peraturan lain, mereka yang dikelaskan sebagai berisiko rendah dan tidak mempunyai gejala, tidak dilarang daripada bekerja dan hanya diperlukan untuk memantau gejala selama 14 hari dan melakukan ujian jika mereka mula mengalami gejala.

Sebagai perbandingan, protokol untuk orang awam memerlukan kontak rapat untuk melakukan kuarantin antara lima ke 10 hari dari hari terdedah kepada kes positif, bergantung pada tahap vaksinasi. Ujian perlu dilakukan hanya jika mereka mengalami gejala, dan tiada pembezaan dibuat untuk tahap risiko berkaitan pendedahan terhadap kes positif.

Melanggar perintah kuarantin boleh didenda dengan kompaun RM1,000.

Di AS, pusat kawalan dan pencegahan penyakit (CDC) mengesyorkan agar kontak rapat yang menerima vaksinasi terkini (termasuk sebarang suntikan dos penggalak, jika layak) tidak perlu melakukan kuarantin jika tidak mempunyai gejala.

Bagaimanapun, mereka diminta mengambil beberapa langkah berjaga-jaga seperti melakukan ujian Covid-19 dan memakai pelitup muka yang muat dengan elok untuk sekurang-kurangnya 10 hari, apabila mereka berada dalam kalangan orang lain termasuk di rumah.

Di UK, individu yang telah divaksin tidak diperlukan untuk melakukan kuarantin, tetapi “sangat dinasihatkan” untuk membuat ujian Covid-19 setiap hari selama 11 hari.

Di Singapura, kontak rapat diperlukan untuk menjalani tempoh pemantauan selama lima hari. Mereka mesti mengasingkan diri serta-merta dan membuat ujian Covid-19, tetapi mereka dibenarkan meneruskan aktiviti normal sekiranya hasil ujian didapati negatif.

Jika mereka masih mahu keluar rumah pada hari berikutnya dalam tempoh pemantauan itu, mereka dimestikan untuk membuat ujian sekali lagi dan dibenarkan meneruskan aktiviti normal jika hasil ujian negatif.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata kementeriannya akan menubuhkan kaunter fizikal di beberapa lokasi bagi menyediakan bantuan teknikal bagi mereka yang menghadapi masalah berkaitan aplikasi MySejahtera.

Ini sebagai tambahan kepada meja bantuan MySejahtera maya sedia ada dalam talian.

“Sudah pasti helpdesk yang virtual kita akan teruskan, tetapi ada yang aduan yang lama tunggu untuk sijil vaksin dan sebagainya, masih belum diselesaikan, kita akan buka fizikal helpdesk,” katanya.

Meja bantuan MySejahtera pertama yang akan dibuka adalah di pusat pemberian vaksin Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 19 Feb, diikuti pusat pemberian vaksin Pusat Konvensyen Ideal pada 26 Feb.

Kemudahan itu akan diperluas ke negeri lain pada masa akan datang, tambah Khairy.

About mohd cucu

Check Also

pegawai-sprm-guna-as$6.94-juta-wang-rampasan-beli-aset-mewah-–-dpp

Pegawai SPRM guna AS$6.94 juta wang rampasan beli aset mewah – DPP

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shahrum Nizam baruddin telah menggunakan sebahagian wang rampasan …

Leave a Reply

Your email address will not be published.