Home / Viral / MerdekaMalaysia / Mufti Perlis, Jaips didakwa ‘terkhilaf’ kes anak Loh peluk Islam
mufti-perlis,-jaips-didakwa-‘terkhilaf’-kes-anak-loh-peluk-islam

Mufti Perlis, Jaips didakwa ‘terkhilaf’ kes anak Loh peluk Islam

Pihak berkuasa agama Perlis dan muftinya Dr Mohd Asri Zainul Abidin didakwa ‘terkhilaf’ apabila mereka mendaftarkan tiga anak ibu tunggal Loh Siew Hong sebagai orang Islam.

Ini menurut Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) yang mengulas kes Loh, yang mana tiga anaknya di bawah umur memeluk Islam secara sepihak tanpa kebenarannya.

MCCBCHST merujuk kenyataan Dr Asri dalam video semalam bahawa kanak-kanak itu didaftarkan sebagai orang Islam apabila mereka dibawa oleh bapa mereka dan pihak berkuasa tidak menyelidik mengenai ibu mereka.

“Fakta yang diakui ini jelas menunjukkan kecuaian Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) kerana membenarkan anak-anak menukar agama tanpa kebenaran ibu.

“Malangnya, mufti sekali lagi menggunakan prinsip yang silap apabila dia berkata ‘tetapi jika anak itu sudah ‘mumayyiz’ mampu membezakan yang baik dan buruk, mereka boleh memilih untuk pergi kepada ibu mereka yang bukan Islam atau bapa mereka yang Islam’.

“Ini adalah pendirian yang tidak betul kerana hak penjagaan tunggal ke atas anak-anak telah diberikan kepada ibu.

“Tambahan pula, bapa berkenaan tidak dapat menjaga anak-anak itu dan berada di penjara atas kesalahan berkaitan dadah,” kata majlis itu pada satu kenyataan hari ini.

Gambar fail, Loh Siew Hong.

Mumayyiz ialah perkataan Arab yang merujuk kepada peringkat usia kanak-kanak atau remaja dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

Menurut Asri, seseorang dalam usia ‘mumaiyiz’ sah memeluk Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah.

“Satu orang mengucap dua kalimah syahadah, di sisi kita dia (sah) Islam , kita daftar kerana bapa dia kata bapa dia yang bagi, dan bapa dia yang kata mak dia tak tau pergi mana masa tu.

“Isunya, di sisi kita, seseorang yang dah mumaiyiz, dia ucap dua kalimah syahadah, Islam di sisi kita. Soal pendaftaran, tak boleh daftar tu cerita kemudian.

“(Umur) 18 tahun kemudian bolehlah dia buat keputusan rasmi tapi tak ada sesiapa paksa,” katanya.

MCCBCHST juga menunjukkan satu lagi kenyataan Asri, ketika dia bertanya kepada kanak-kanak itu sekiranya mereka mahu menjadi Muslim dan memberitahu mereka bahawa dia akan berusaha untuk memastikan mereka kekal dalam agama itu.

Majlis itu berkata mufti Perlis perlu memahami undang-undang, bahawa ibu atau bapa secara sepihak tidak dibenarkan menukar agama anak tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa.

“Kedua-dua ibu bapa mesti bersetuju. Ini berdasarkan penghakiman mahkamah tertinggi di negara ini.

“Janjinya kepada gadis kembar itu ‘bahawa dia akan berusaha untuk memastikan mereka kekal Islam’, adalah tidak boleh dipertahankan dan bertentangan dengan kedudukan undang-undang,” katanya.

Majlis itu juga meminta pihak berkuasa agama Perlis menyerahkan hak penjagaan kanak-kanak itu kepada Loh, mengikut perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indra Gandhi, penukaran agama ketiga-tiga anak itu akan terbatal dan tidak sah kerana kebenaran ibunya belum diperolehi.

“Oleh itu, Jabatan Agama Perlis harus membatalkan penukaran agama anak-anak itu secara sepihak tanpa memerlukan ibu tunggal untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk membatalkan penukaran agama yang salah terhadap tiga anaknya,” kata majlis itu lagi.

Sementara itu, Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menggesa kerajaan membentangkan rang undang-undang pada sidang parlimen akan datang yang mewajibkan pihak berkuasa mendapatkan persetujuan daripada kedua ibu bapa sebelum mana-mana kanak-kanak di bawah umur boleh menukar agamanya.

“Justeru, KLSCAh menggesa kerajaan supaya dalam sesi parlimen yang akan datang dapat membuat pindaan undang-undang dengan menetapkan penukaran agama kanak-kanak bawah umur harus mendapat persetujuan daripada kedua-dua ibu bapa terlebih dahulu.

“Tambahan pula, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, juga pernah mengumumkan melalui fatwa pada tahun 2015, bahawa hak penjagaan anak bawah umur tidak wajar ditentukan berdasarkan agama ibu bapa.

“Sebaliknya, pertimbangan utama adalah menyediakan kanak-kanak dengan persekitaran tumbesaran dan perkembangan psikologi yang lengkap. Jika dibandingkan dengan keadaan kes hari ini yang dikatakan bahawa anak-anak Loh Siew Hong hendak mengekalkan identiti Islam mereka tanpa melalui ibu mereka, sudah pasti timbul keraguan.

“KLSCAH percaya bahawa selepas mengesahkan Loh Siew Hong mempunyai keupayaan untuk membesarkan anak-anaknya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis harus segera mengembalikan anak kepada Loh Siew Hong demi memastikan perkembangan fizikal dan mental anak Loh yang sihat dan selamat.

[Baca berita asal]

About mohd cucu

Check Also

pegawai-sprm-guna-as$6.94-juta-wang-rampasan-beli-aset-mewah-–-dpp

Pegawai SPRM guna AS$6.94 juta wang rampasan beli aset mewah – DPP

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shahrum Nizam baruddin telah menggunakan sebahagian wang rampasan …

Leave a Reply

Your email address will not be published.