Home / Semasa / Kerugian Bersih Pos Malaysia Bertambah Kepada RM335.73 Juta

Kerugian Bersih Pos Malaysia Bertambah Kepada RM335.73 Juta

KUALA LUMPUR – Kerugian bersih Pos Malaysia Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 bertambah kepada RM335.73 juta daripada kerugian bersih sebanyak RM308.02 juta yang direkodkan semasa tahun kewangan 2020.

Pendapatan merosot kepada RM2.19 bilion berbanding RM2.33 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa.

Perolehan daripada segmen pos susut 12 peratus akibat kelembapan dalam perkhidmatan pos berikutan penurunan dalam jumlah mel dan bungkusan yang dikendalikan terutamanya daripada pelanggan kontrak.

Kerugian yang lebih tinggi yang dicatatkan untuk segmen pos disumbangkan oleh skim pemisahan bersama sebanyak RM75.1 juta berbanding dengan RM41.6 juta yang disediakan semasa tahun kewangan 2020.

Sementara itu, segmen logistik mencatatkan kenaikan hasil berjumlah 10 peratus iaitu sebanyak RM345.9 juta pada tahun ini yang datang daripada perniagaan pengurusan angkutan (daripada penghantaran barang) dan perniagaan automotif (sebahagian besarnya daripada permulaan perkhidmatan gudang baharu pada tahun ini).

Selain itu, segmen penerbangan menyumbang 33 peratus hasil yang lebih tinggi sebanyak RM216.1 juta susulan peningkatan sumbangan daripada pengendalian tan kargo yang lebih banyak.

Segmen-segmen lain yang merangkumi percetakan dan penyisipan, sijil digital dan Ar-Rahnu, mencatatkan perolehan sebanyak RM111.7 juta pada tahun semasa, lebih rendah lima peratus berbanding tahun kewangan 2020.

Kumpulan itu ketika bercakap mengenai prospek menjelaskan ia tetap optimis secara berhati-hati dengan prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2022 dengan memanfaatkan peluang, sambil mengubah dan mengukuhkan terasnya.

Ia menjangkakan pertumbuhan pada tahun kewangan 2022 bakal dicatatkan dalam perniagaan runcit, antarabangsa, logistik dan penerbangan, khususnya dengan pembukaan sempadan serta perniagaan yang akan mendapat sokongan permintaan untuk produk pengguna, pembuatan dan jumlah kargo.

“Kami berada di landasan dengan pemulihan dan inisiatif transformasi kami ditujukan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan serta kecekapan kos, menambah hasil selain memberi tumpuan kepada keuntungan tambahan daripada segmen Perniagaan ke Pengguna (B2C), Terus ke Pelanggan (D2C) dan Perniagaan ke Perniagaan (B2B).

“Inisiatif kami mencatatkan kemajuan yang baik dengan tahap perkhidmatan pada tingkat tertinggi sepanjang masa, di atas penambahbaikan yang mantap dalam semua blok bangunan operasi utama termasuk pemacu perniagaan,” kata Pos Malaysia lagi. – Bernama

Kredit : Sinar Harian

About admin2

Check Also

“Mana Nak Cari Artis Terjah Peminat Macam Ni..” Fazura Dipuji Terjah Peminat Pakai Tudung Miliknya – | Article Update

“Mana nak cari artis yg tegur peminat macam ni..” Nama selebriti wanita jelita iaitu Nur …

Leave a Reply

Your email address will not be published.