Home / Semasa / KWSP, GoGet Perkenal Program Simpanan Saraan Bersepadu Bagi Pekerja Gig

KWSP, GoGet Perkenal Program Simpanan Saraan Bersepadu Bagi Pekerja Gig

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan GoGet membantu komuniti pekerja gig menyimpan bagi persaraan mereka. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan GoGet Malaysia bekerjasama untuk melindungi kewangan dan menyediakan komuniti pekerja gig yang turut dikenali sebagai ‘GoGetters’ semasa persaraan mereka, melalui pelancaran program simpanan bersepadu.

GoGet, aplikasi kerja atas permintaan akan menjadi yang pertama di Malaysia untuk memasukkan ciri caruman KWSP dalam platformnya yang bersepadu dan boleh disesuaikan sebagai antara usaha menggalakkan GoGetters menyumbang kepada simpanan persaraan melalui program caruman sukarela seperti i-Saraan dan caruman sendiri.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata pekerja gig yang mempunyai akaun KWSP sedia ada hanya perlu memberi kebenaran untuk menyertai program ini dan menetapkan kadar caruman mereka.

Katanya bonus yang diterima GoGetters daripada GoGet akan turut menjadi sebahagian daripada pendapatan yang dicarumkan kepada KWSP.

GoGetters yang bekerja secara sambilan dengan majikan formal atau mereka yang berumur 55 tahun ke atas, turut digalakkan menyumbang melalui program caruman sendiri, yang terbuka kepada semua individu yang boleh menyumbang pada bila-bila masa sehingga maksimum RM60,000 setahun.

Ciri ini sangat fleksibel berikutan GoGetters dapat melaraskan kadar sumbangan mereka atau menarik diri daripada program itu pada bila-bila masa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata GoGetters memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi, namun akan memberikan kesan buruk kepada sosioekonomi dalam masa terdekat sekiranya mereka dibiarkan tanpa jaringan keselamatan sosial untuk persaraan.

“Pandemik Covid-19 telah banyak mengubah landskap kerja dan kami melihat peningkatan mendadak bilangan individu yang bekerja sendiri di Malaysia.

“Bagi sesetengah orang, bekerja sendiri boleh menjadi laluan kerjaya yang menarik. Namun, ia tidak disertakan dengan pelan persaraan yang tersendiri. Di sinilah peranan KWSP menjadi penting kerana kami mahu mereka mendapat sokongan pelan persaraan rasmi untuk jaminan persaraan mereka,” katanya.

CEO GoGet Francesca Chia berkata GoGetters akan mendapat manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen dengan memulakan simpanan awal dan konsisten walaupun melibatkan jumlah yang kecil.

Sebagai contoh, individu yang menyimpan RM50 sebulan selama 30 tahun akan dapat mengumpulkan simpanan sebanyak RM47,000 selepas 30 tahun atau lebih dua kali ganda jumlah caruman mereka sebanyak RM18,000.

“Jika GoGetters menjimatkan RM140 sebulan, mereka akan dapat memaksimumkan insentif i-Saraan dan mengumpulkan RM131,000 di sebalik RM50,400 jumlah caruman dalam masa 30 tahun,” kata Chia.

Pada September 2021, KWSP telah menandatangani MoU dengan Grab Malaysia untuk tujuan yang sama.

Pada masa ini, lebih separuh daripada tenaga buruh Malaysia tidak dilindungi untuk jaminan pendapatan persaraan.

-BERNAMA

Kredit : SelangorKini

About admin2

Check Also

Gagal Kawal Emosi Ketika Jawab Soalan, Sifu Bisnes ‘Disekolahkan’ Oleh Netizen | Article Update

Seorang sifu bisnes terkemuka yg bertaraf jutawan & mempunyai ribuan pengikut telah ditegur oleh seorang …

Leave a Reply

Your email address will not be published.