Home / Semasa / Melaka bakal dijadikan hab pemasangan EV, dijangka beroperasi Q3 2024

Melaka bakal dijadikan hab pemasangan EV, dijangka beroperasi Q3 2024

TIGA syarikat dari China berminat untuk membina kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) di Melaka.

Syarikat tersebut adalah Changan Automobile Corporation (Changan) serta dua lagi syarikat pengeluar EV untuk e-hailing dan bas elektrik.

Kerajaan negeri memaklumkan bahawa sebelum ini terdapat beberapa syarikat antarabangsa dari China yang berminat untuk melabur dan menjadikan negeri ini sebagai hab pemasangan EV pertama negara dan dijangka memulakan operasi suku ketiga 2024.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Pelaburan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, pihaknya sedang menantikan garis panduan serta prosedur daripada kerajaan pusat bagi tujuan berkenaan.

Ini termasuk garis panduan dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membuka kilang pemasangan berkenaan.

Sehingga kini Malaysia masih belum mempunyai kilang pemasangan seumpamanya maka disebabkan itu  ia memerlukan garis panduan baharu, jelas beliau.

“Di samping itu, para pelabur juga boleh mendapat insentif-insentif daripada kerajaan pusat berdasarkan garis panduan sebelum ini,” kata Ab. Rauf.

“Kerajaan negeri di bawah portfolio saya sedang mengenal pasti kawasan baharu dan meneliti semua dapatan hasil kajian yang diperlukan oleh syarikat-syarikat yang berminat bagi membuka kilang di negeri ini.

“Insya-Allah, ia akan mengambil masa sedikit kerana memerlukan kawasan yang luas serta kemudahan infrastruktur yang baik,” katanya kepada pemberita pada Isnin (28 Februari 2022).

“Saya percaya dengan terbinanya kilang itu nanti, ia akan memberikan pulangan kepada rakyat sekali gus menyediakan pekerjaan dalam industri kereta masa depan ini,” tambah beliau.

About admin2

Check Also

Iklan Billboard Penuh Muka Founder Produk, Ini Yang Usahawan Patut Belajar Dengan Apple & Android | Article Update

Sekiranya anda berada di lebuhraya, pasti perasan pelbagai iklan terpampang di billboard tepi jalan. Ada …

Leave a Reply

Your email address will not be published.