Home / Semasa / ‘Kena jujur, amanah walau di mana kita berada’

‘Kena jujur, amanah walau di mana kita berada’

HULU TERENGGANU – “Kami sentiasa diingatkan supaya sentiasa rajin dan bersikap jujur serta amanah ketika menjalankan misi sukarelawan walau apa juga kata orang,” kata Syed Afindi Syed Mansor, 40, dari Kampung Bukit Tok Bat di sini.

 

Syed Afindi merupakan salah seorang sukarelawan Skuad Prihatin Anak Watan Terengganu yang menemui barangan kemas milik mangsa banjir warga emas ketika membersihkan kesan banjir lumpur di kediaman itu di Kampung Bukit Tok Bat, Rabu lalu.

 

Menurut beliau, video mengenai penemuan tersebut diambil sebagai rekod simpanan, namun tidak menyangka ia menjadi tular dalam media sosial.

 

“Sepanjang menjalankan kerja sukarelawan, kami sudah biasa menemui barang berharga seperti duit dan barang kemas dalam rumah mangsa banjir tetapi semuanya diserahkan kembali kepada tuan rumah.

 

“Ketua kami, Asmawi Mokhtar amat mementingkan soal ini,” katanya yang lebih dikenali sebagai Bak Madu dan mengusahakan pembuatan makanan tradisi Terengganu iaitu rojak kateh madu aroma dapur arang secara tradisional.

 

Jelas Syed Afindi, pemilik barang kemas itu ada menemui mereka dan mengucapkan terima kasih kerana memulangkan kembali barangan serta membantu membersihkan kediaman yang dipenuhi lumpur tebal ekoran banjir besar pada Ahad lalu.

 

Beliau berkata, lebih 80 sukarelawan Skuad Prihatin Anak Watan Terengganu menyertai misi membersihkan rumah penduduk sekitar Kampung Sekayu, Bukit Tok Bat dan Getang dengan tumpuan diberikan kepada kediaman warga emas.

 

Selain membersihkan kediaman katanya, pasukan dengan kerjasama bengkel kereta turut membantu baik pulih lebih 10 buah kereta penduduk yang rosak dipenuhi lumpur akibat ditenggelami air bah.

 

“Sukarelawan dalam pasukan kami mempunyai pelbagai kemahiran dan kita gunakan ia untuk membantu mangsa-mangsa banjir mengikut kepakaran masing-masing. Bah kali ini begitu teruk dengan banyak kawasan tidak pernah bah dinaiki air.

 

“Rumah saya sendiri di Bukit Tok Bat turut ditenggelami air, namun saya belum sempat bersih sepenuhnya.

 

“Tumpuan sekarang diberikan kepada rumah penduduk yang teruk terjejas terutama rumah di hujung-hujung kampung, lagi pun anak isteri saya masih ada rumah keluarga untuk berlindung buat sementara waktu,” katanya.

 

Kredit : Sinar Harian

About admin2

Check Also

Contoh Tradisi Budaya Buli Di SBP Yang Ramai Tidak Tahu Dan Tidak Diberitahu Oleh Anak Anda | Article Update

Sememangnya kes buli yg serius masih kerap dilaporkan berlaku di sekolah-sekolah asrama di Malaysia. Namun, …

Leave a Reply

Your email address will not be published.