Home / Semasa / Tak dibayar gaji punca KL dibelasah Melaka 26-0

Tak dibayar gaji punca KL dibelasah Melaka 26-0

KUALA LUMPUR: Kekalahan besar 26-0 pasukan futsal wanita Kuala Lumpur (KL) di tangan Melaka dalam saingan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2022, Khamis lalu didakwa berpunca daripada tindakan pemain skuad ibu kota memboikot perlawanan.

 

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam kenyataannya menjelaskan, pemain didakwa mengambil tindakan memboikot perlawanan susulan pasukan KL dipercayai berdepan isu tidak membayar gaji pemain seperti dijanjikan sebelum ini.

 

PFAM berkata hasil pertemuan dengan sebahagian pemain KL, mereka mendakwa pengurusan bersetuju menawarkan gaji atau elaun sebanyak RM1,400 kepada semua pemain bagi tujuan penyertaan MPFL yang dijadualkan berlangsung secara karnival bermula pada 8 hingga 23 Mac ini.

 

Katanya, pihak pengurusan didakwa berjanji untuk membuat bayaran sebelum perlawanan pertama yang bermula pada 8 Mac lalu, namun pemain tidak menerima bayaran seperti dijanjikan.

 

“Seterusnya, pemain dijanjikan sekali lagi bayaran akan dibuat pada 15 Mac 2022. Walaupun begitu, pemain memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang pembayaran seperti dijanjikan.

 

“Selain tidak menerima gaji pada tarikh dijanjikan, pemain berhadapan siri kesusahan sepanjang penyertaan mereka mewakili pasukan KL di dalam liga ini.

 

“Berdasarkan aduan pemain, mereka dihalau dari penginapan ‘homestay’ akibat pengurusan yang tidak membayar sewa penginapan. Mereka juga dipaksa keluar daripada hotel penginapan akibat kegagalan pembayaran, selain terpaksa menanggung sendiri kos pengangkutan dan makanan.

 

“Lebih mendukacitakan, pemain tidak diberikan kontrak atau surat tawaran yang menyatakan mengenai pemberian gaji sebanyak RM1,400, tetapi hanya diberikan surat tawaran yang menyatakan pemberian elaun bulanan sebanyak RM100 sahaja – yang ternyata amat jauh berbeza sepertimana yang dijanjikan,” jelas PFAM.

 

Berdasarkan aduan yang dibuat pemain, PFAM merasakan bahawa wujud unsur penganiayaan yang wajar diberikan perhatian secara serius oleh pengurusan KL dan juga pihak penganjur liga futsal, iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

 

“PFAM ingin memohon penjelasan jika sewaktu hari perlawanan, pengurusan pasukan KL memberikan alasan COVID-19 berkenaan ketidakhadiran pemain, adakah SOP penganjuran liga masih diteruskan memandangkan ia berpotensi untuk memberi risiko keselamatan kepada pemain, pegawai dan urusetia?

 

“Sehubungan itu, PFAM ingin menggesa agar satu siasatan khas dijalankan bagi mengenal pasti punca berlakunya perkara ini. PFAM menggesa pihak FAM dan pengurusan KL agar segera tampil memberikan penjelasan berhubung isu ini,” katanya.

 

Kredit : Berita Harian Online

About admin2

Check Also

Kadar Bayaran Sagu Hati Melampau, Benarkah Penceramah Jemputan Sekarang Sering ‘Demand’ Tinggi? | Article Update

Alhamdulillah, situasi di Malaysia pada hari ini menyaksikan masih ramai masyarakat Islam yg sempat memperuntukkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published.