Home / Semasa / Cabaran belajar, mengajar era pandemik tidak halang pasangan guru genggam ijazah

Cabaran belajar, mengajar era pandemik tidak halang pasangan guru genggam ijazah

AIDA Jusoh, 41, dan Mohd Zulhelmi Kadirun, 35, masing-masing berjaya menerima skrol Master Pentadbiran Pendidikan dalam Majlis Konvokesyen ke-45 Universiti Putra Malaysia (UPM) pada sidang keenam hari ini. Foto Facebook Universiti Putra Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Belajar dan mengajar secara dalam talian dilakukan dalam keadaan mengejut ketika negara berdepan pandemik COVID-19 bukanlah sesuatu yang mudah bagi pasangan guru dalam usaha menggenggam segulung ijazah.

 

Namun, berbekalkan semangat dan kemampuan menyeimbangkan jadual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan kuliah pengajian, akhirnya membuahkan hasil apabila pasangan suami isteri yang merupakan guru, hari ini berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Berkongsi pengalaman di saat akhir untuk menamatkan pengajian, Aida Jusoh, 41, guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Mohd Redza Seremban, Negeri Sembilan berkata ketika itu negara baru sahaja berdepan dengan krisis kesihatan COVID-19.

 

“Awal tahun 2020, pada waktu itu sepatutnya saya perlu siapkan tesis, tetapi diduga apabila negara berdepan COVID-19, disebabkan bekerja sebagai guru, pembelajaran termasuk pengajian saya sendiri perlu dilakukan secara dalam talian.

 

“Tanpa pengalaman yang banyak mengajar dalam talian, dengan pengajian juga perlu dijalankan secara dalam talian, ia betul-betul menduga semangat saya ketika itu hingga hampir berputus asa dan terasa mahu menamatkan pengajian,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis Konvokesyen UPM Ke-45, di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, Aida berkata melakukan sesuatu yang baharu secara mengejut bukanlah sesuatu yang mudah namun ia tidak mustahil dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya terus berusaha dan tidak jemu untuk belajar.

 

“Kalau ikut waktu pengajian biasa sebelum pandemik, saya akan hadir kelas ketika musim cuti sekolah dari 8 pagi hingga 6 petang… tetapi ketika pandemik, kelas dijalankan secara dalam talian, jadi sebelah pagi biasanya saya akan buat PdPR dan sebelah petang atau malam saya ikuti kelas pengajian,” katanya.

 

Beliau berkata meskipun zaman pandemik ini memberi cabaran besar kepada mereka yang bekerja sambil belajar, tambahan pula bertugas sebagai guru, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

 

Suami Aida, Mohd Zulhelmi Kadirun, 35, guru di SMK Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pula berkata apa dilalui beliau dan isteri adalah sesuatu sangat baru, namun dengan menyambung pengajian akan memberi lebih banyak ilmu dan pengetahuan untuk berdepan dengan era pendidikan baharu.

 

“Bayangkan waktu itulah kena belajar buat Google Meet, kena hadir kelas dalam talian pula tetapi ini bukanlah penghalang untuk kita sebagai guru menyambung pengajian, lagi banyak kita belajar baru kita sedar banyak benda yang kita tidak tahu,” katanya.

 

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengkhususan Bahasa Asing (Arab) Muhammad Hafizuddin Ahmad, 25, yang kehilangan kedua orang tuanya ketika masih kecil berkata COVID-19 mengajarnya untuk berusaha lebih gigih apabila terpaksa belajar seorang diri di kolej kediaman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

 

“Waktu itu saya baru balik dari Jordan. Selepas ikuti kursus bahasa, program di bawah UPM, balik sahaja dari Jordan, tidak berapa lama kemudian PKP. Kawan-kawan semua pulang ke kampung tetapi saya kekal di kolej kediaman,” katanya yang belajar seorang diri mengikuti kelas dalam talian dari Mac hingga September 2020.

 

Beliau yang merupakan anak bongsu dari 11 beradik berkata kehilangan ibu bapa memang menjejaskan sokongan moral namun sekiranya melihat sesuatu perkara itu dari sudut positif, ia dapat menjadi suntikan semangat.

 

“Mak meninggal akibat kanser payudara ketika saya berusia 9 tahun dan ayah meninggal kerana serangan jantung ketika saya berusia 12 tahun. Saya dibesarkan abang dan kakak yang hampir kesemua mereka berjaya melanjutkan pengajian.

 

“Berbekalkan semangat ini (abang dan kakak lanjutkan pengajian) dan semangat arwah ibu ayah, saya teruskan usaha untuk menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi,” katanya.- BERNAMA

 

Kredit : Melaka Hari Ini

About admin2

Check Also

Yusuf Al-Qaradawi meninggal dunia | Article Update

Ulama terkenal, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi, dilaporkan telah meninggal dunia hari ini pada usia 96 …

Leave a Reply

Your email address will not be published.