Home / National / Nazrey Raihan ‘jual’ suara bina maahad tahfiz

Nazrey Raihan ‘jual’ suara bina maahad tahfiz

Nazrey Johani mencipta fenomena bersama Raihan yang dianggotainya selama 10 tahun. Lagu-lagu ciptaan mualaf dari Ranau, Sabah itu mengangkat muzik nasyid ke aras baharu. Meski tidak lagi bersama kumpulan itu, beliau masih berdakwah di kampungnya di Sabah. Wartawan Amin Ridzuan Ishak merakam perkembangan mutakhir Nazrey menerusi temu bual pada 20 Mac lalu.

 

SELEPAS masyhur dengan kumpulan nasyid Raihan, Nazrey Johani membawa haluan sendiri pada 2006. Tujuannya mahu meneruskan dakwah di negeri kelahirannya, Sabah.

Beliau memutuskan untuk kembali ke kampungnya di Kampung Sinarut Baru yang terletak berhampiran Mamut, tapak lombong tembaga, emas dan perak yang tidak lagi beroperasi.

Tujuannya untuk menyebarkan Islam dan membantu penduduk terutama dalam kalangan saudara baharu. Sebagai mualaf, Nazrey faham benar kesukaran dihadapi mereka. Dirinya sendiri mengambil masa lama untuk memahami Islam.

Memeluk Islam ketika berusia 13 tahun yang pada mulanya atas desakan bapanya, Allahyarham Johani Inggangong, bapa tujuh cahaya mata berusia 51 tahun itu memasang azam membina masjid dan maahad di kampungnya serta kampung isterinya di Kampung Bitoon, juga di daerah sama.

Namun usaha itu bukan mudah. Kos pembinaan tinggi selain perlu membayar tenaga pengajar. Bermodalkan suara lunaknya, Nazrey menjelajah ke pelbagai lokasi untuk memenuhi undangan persembahan bagi mengumpul dana.

Nazrey juga ‘menebalkan’ muka membuat persembahan di pasar malam dan pasar tani yang mengejutkan ramai peminatnya sehingga ada menyangka dirinya hidup melarat selepas meninggalkan Raihan. Tanggapan itu ditolak Nazrey.

“Saya tidak malu (menyanyi di pasar malam dan pasar tani) kerana saya buat ini kerana ingin berdakwah demi Islam.

“Alhamdulillah ramai yang hulur sumbangan,” katanya yang turut memenuhi undangan berceramah, majlis makan malam dan menggunakan bayaran royalti untuk menampung kos pembinaan maahad tahfiz.

Sepuluh tahun kemudian iaitu pada 2016, impian Nazrey menjadi realiti. Di Kampung Bitoon, sebuah masjid dan maahad tersergam indah. Tersedia kelas fardu ain untuk mengajar asas Islam kepada penduduk.

“Saya juga beri sedikit wang kepada penduduk yang datang belajar, beri mereka semangat selain ringankan beban kerana kita tahu kesukaran mereka,” katanya kepada Selangorkini.

Nazrey Johani menyebarkan dakwah kepada penduduk Ranau, Sabah. Foto Facebook Maahad Ranau

Bina maahad tahfiz

Di kampungnya pula, sebuah maahad tahfiz berjaya dibina. Seramai 30 bakal huffaz belajar di premis itu termasuk dari semenanjung. Namun, kini terpaksa ditutup kerana mengalami kerosakan akibat tanah mendap dalam kejadian tahun lalu.

Selain mencari dana membaik pulih maahad tahfiz miliknya, Nazrey turut membantu rakannya untuk mengutip sumbangan bagi membina rumah anak yatim dan asnaf di Kanchong Darat, Kuala Langat.

Mereka aktif menganjurkan pelbagai aktiviti seperti majlis makan malam.

Mengimbau saat dirinya bersama Raihan, Nazrey menyifatkannya sebagai pengalaman menakjubkan terutama dalam menempatkan muzik nasyid setanding genre lain seperti rock, pop atau balada yang menguasai industri hiburan negara.

Nazrey masih ingat tujuan awal mereka menceburi bidang seni adalah untuk menyampaikan dakwah Islam melalui nasyid yang berkait rapat dengan pemilihan nama kumpulan berkenaan yang bermaksud wangian syurga. Populariti atau jualan album bukan sasaran utama mereka.

Namun, takdir tertulis sebaliknya. Album pertama ‘Puji-Pujian’ terjual lebih 1.5 juta unit di Malaysia dan mencecah 3.5 juta unit di seluruh dunia setakat 2017.

Pencapaian itu paling tinggi pernah direkodkan artis Malaysia sehingga kini.

Lagu ‘Puji-Pujian’ dan ‘Iman Mutiara’ mendapat sambutan hangat orang ramai. Liriknya mudah difahami dan hanya diiringi muzik ringan seperti gendang menyebabkan masyarakat terdiri daripada pelbagai lapisan usia serta kaum senang dengan lagu berkenaan.

“Saya sendiri sukar hendak percaya dengan sambutan itu, dipanggil pula buat persembahan di luar negara,” ujar Nazrey yang sempat mengikut jelajah Raihan antaranya ke London, sembilan kota di Perancis dan Kanada.

Waktu itu, Raihan dianggotai Nazrey, Azahari Ahmad, Abu Bakar Mohd Yatim, Che Amran Idris dan Amran Ibrahim.

Namun Nazrey keluar pada 2006 manakala Azahari meninggal dunia pada 2016. Abu Bakar, Che Amran dan Amran masih meneruskan perjuangan dalam kumpulan itu.

Nazrey turut menceritakan kisah bagaimana Raihan boleh dipilih menerima jemputan Ratu Elizabeth II untuk membuat persembahan nyanyian di Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di Edinburgh, Scotland pada 1997. Ramai tidak mengetahui kisah itu.

Cerita Nazrey, ada seorang pengurus acara dari United Kingdom terbang ke Malaysia untuk mencari artis bagi membuat persembahan pada hari terakhir mesyuarat itu.

Mulanya, lagu Raihan tidak diperdengar kepada individu berkenaan, hanya lagu artis popular.

“Namun, beliau tidak berpuas hati kerana mahu mencari sesuatu yang unik. Hanya pada hari terakhir barulah lagu kami diperdengarkan. Beliau terus setuju pilih Raihan.

“Berada di sana satu pengalaman luar biasa kerana kami membawa lagu nasyid sedangkan ketika itu lagu genre lain yang popular, rezeki kami berdakwah kepada lebih ramai orang,” kata Nazrey.

Raihan juga menjadi artis Malaysia ketiga membuat persembahan di Royal Albert Hall, London selepas Allayarham Datuk Sudirman Arshad dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Nazrey Johani menyebarkan dakwah kepada penduduk Ranau, Sabah. Foto Facebook Maahad Ranau

Namun Nazrey tidak lagi bersama kumpulan itu ketika konsert berkenaan diadakan pada Mac 2008.

Pada persembahan itu, Raihan berduet dengan Yusuf Islam atau dikenali dengan nama popular Cat Stevens menerusi lagu ‘God Is The Light’ dan ‘Rakan Selawat’ dalam versi Inggeris.

Cipta sejarah

Raihan juga mencipta sejarah apabila tersenarai dalam 500 muslim paling berpengaruh di dunia bagi kategori seni dan budaya selama sembilan tahun bermula 2008 hingga 2016.

Pengiktirafan itu dicapai hasil kajian Universiti Georgetown, Washington, Amerika Syarikat.

Kumpulan itu mencetus fenomena muzik baharu Islam kontemporari yang menjadi ikutan kepada penggiat nasyid di dunia turut merangkul 17 trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Nazrey selepas meninggalkan Raihan meneruskan dakwah menerusi muzik dengan mengeluarkan album bertajuk Syahadah pada 2007 disusuli Nasyid Nostalgia Memori The Zikr sembilan tahun kemudiannya.

Beliau turut menerbitkan single nyanyian zikir Ya Hayyu Ya Qayyum, Astaghfirullah, La Hawla Wala, Lailahaillahallah, Subhanallah dan Ya Zaljalal yang boleh didengar menerusi saluran media dalam talian antaranya YouTube.

Menceritakan pengalamannya memeluk Islam, Nazrey mengakui dirinya pada mulanya berpura-pura mengamalkan ajaran Islam kerana dipaksa bapanya. Dirinya ketika itu penganut tegar fahaman Katolik.

About admin2

Check Also

Kedah vs JDT: Harimau Selatan Cat4t Kemen4ngan Dengan 10 Pemain

Johor Darul Ta’zim (JDT) turun ke Stadium Darul Aman selaku juara Liga Super buat kali kesembilan …

Leave a Reply

Your email address will not be published.