Home / Terkini / Kes dera Bella: KPWKM sedia menghadap TMJ

Kes dera Bella: KPWKM sedia menghadap TMJ

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia bekerjasama dengan peguam Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi membantu kes prosiding penderaan Bella.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, niat murni Tunku Ismail yang menawarkan peguam percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian berhubung kes penderaan Bella amat membantu dalam menegakkan keadilan buat remaja berkenaan.

“Kementerian menyambut baik pelawaan ini dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan DYAM Tuanku (Tunku Ismail).

“Sesungguhnya patik amat terharu dengan keprihatinan yang dizahirkan oleh DYAM Tuanku dan YAM Che’ Puan Besar (Khaleeda Bustamam) yang sama-sama mengikuti perkembangan kes perbicaraan ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Instagram hari ini.

Berikutan itu Rina berkata, beliau dan pihak kementerian bersedia menghadap Tunku Ismail dan isterinya, Khaleeda bagi mempersembahkan status kes perbicaraan Bella serta tindakan yang disusuli pihaknya dalam membantu perbicaraan kes terbabit.

“Buat seluruh Keluarga Malaysia dalam bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita terus memanjatkan doa semoga urusan perbicaraan kes penderaan adik Bella dipermudahkan dan kebenaran dan keadilan dapat dibuktikan di akhir perbicaraan kelak,” katanya.

Terdahulu TMJ di Instagram rasminya memaklumkan sudah menghubungi peguamnya serta akan berhubung dengan Rina bagi menawarkan perkhidmatan peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian berhubung kes penderaan remaja berkenaan.

Titah TMJ itu selepas isterinya, Khaleeda berkongsi pendiriannya di laman sama, semalam bagi membantu menuntut keadilan buat remaja perempuan Down Sindrom berkenaan.

Kisah bella,13, yang didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia dan prosiding mahkamah berkaitan kes berkenaan masih berjalan.

Siti Bainun didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

About admin2

Check Also

Ekonomi J4tuh Teruk, Menteri Kewangan Pakist4n Letak Jawatan

Menteri Kewangan Pakistan Miftah Ismail mengumumkan peleta.kan jawatan pada Ahad disebabkan negara itu menghadapi krisis …

Leave a Reply

Your email address will not be published.