Tiada ibu di dunia ini yang sanggup melihat anak-anak sakit dan menderita. Apatah lagi jika ia sakit kronik yang memerlukan rawatan segera.
Lebih memilukan, ada sesetengah ibu tunggal yang perlu berhempas pulas bekerja dan mencari jalan untuk mendapatkan wang bagi menampung kos rawatan tersebut.
Seperti yang dilalui oleh Puan Asliza yang kini sedang buntu kerana anak lelakinya, Muhammad Azraqi memerlukan bantuan kewangan bagi menjalani pembedahan jantung.
Adik Azraqi merupakan seorang kanak kanak Sindrom Down berusia 9 tahun yang mengalami masalah jantung dan perlu menjalani pembedahan untuk membetulkan injap trikuspid dalam masa terdekat.

Dengan mata pencarian yang terhad iaitu menjalankan perniagaan atas talian secara kecil-kecilan, Asliza menghadapi kesukaran untuk membayar kos pembedahan yang mencecah sehingga RM90,000.
Selepas pemergian suaminya yang meninggal dunia akibat terjatuh dalam bilik air, ibu tunggal ini juga mempunyai beberapa tanggungan seperti ibunya yang sudah berusia, kakak OKU dan beberapa orang lagi anaknya yang lain.

Oleh itu, sebuah badan bukan kerajaan, Persatuan Kebajikan Amal Da-Ai Malaysia meminta agar orang ramai dapat menghulurkan sedikit bantuan bagi meringankan penderitaan yang dialami adik Azraqi.
Difahamkan bahawa kanak-kanak tersebut mungkin boleh menjalani kehidupan normal selepas menjalani pembedahan ini.

Keluarga ini memerlukan sekurang-kurangnya RM90,000 untuk menampung segala kos pembedahan yang dijangka mampu memberikan sinar baharu dalam kehidupan adik Azraqi.
Kepada mereka yang ingin menyalurkan bantuan kepada keluarga ini, anda boleh terus menghubungi Encik Calvin Wong menerusi calvinwong0287@gmail.com ataupun boleh terus menghubungi beliau menerusi aplikasi WhatsApp di talian 011-26110287 (WhatsApp). Semoga bantuan yang dititipkan mampu memberikan masa depan yang lebih berwarna-warni kepada adik Azraqi.
Sumber: Da-Ai (Calvin Wong)