Seorang mangsa kemalangan jalan raya yang kematian isteri rayu orang awam kejadian kongsi rakaman dash cam semasa kejadian.
Memang tidak dapat dinafikan keperluan dash cam dalam sesebuah kenderaan adalah sangat penting kepada pengguna lebih-lebih lagi bagi golongan wanita.
Hal ini demikian kerana dash cam pada kenderaan berfungsi untuk merakamkan segala kejadian yang berlaku di jalan raya, selain boleh dijadikan bahan bukti sekiranya terjadi sesuatu tragedi.
Sama ada kes kecurian, kemalangan, bencana alam dan sebagainya, segalanya boleh dirakam dengan dash cam, malah keselamatan pengguna juga turut akan lebih terjamin.
Baru-baru ini, sepasang pasangan suami isteri dilapor terlibat dalam satu kemalangan di satu lokasi di lebuhraya dan menyeru orang ramai yang mempunyai rakaman dash cam ketika kejadian untuk berhubung dengannya.
Menurut perkongsian mangsa yang dikenali sebagai Allan Cham Wei Lun di Facebook, beliau dan isterinya terlibat dalam kemalangan tersebut yang berlaku pada minggu lepas.
Bagaimanapun apa yang menyentuh hati, isterinya dilapor terkorban dalam nahas tersebut dan meninggal dunia.
“Saya, Allan Cham Wei Lun merendahkan diri untuk meminta jasa baik anda semua untuk sebarkan muat naik ini.
“Sebagaimana yang anda semua ketahui, saya dan mendiang isteri saya terlibat dalam kemalangan maut dan kemalangan ini telah meragut nyawa isteri tercinta saya.
“Saya sedang mencari mana-mana pihak yang mempunyai rakaman dash cam yang merakamkan insiden kemalangan di sekitar KM 129.5 (arah Johor Bahru menghala Kuala Lumpur) Lebuhraya Utara Selatan pada waktu lingkungan 5.45 petang, 26 Oktober 2022.
“Semoga Tuhan merahmati dan membalas budi baik anda semua. Sekian, terima kasih,” katanya dalam perkongsian itu hari ini.
Sehubungan itu, mana-mana pengguna jalan raya yang mempunyai rakaman kemalangan semasa di lokasi kejadian, adalah diharapkan dapat menghubungi Allan dalam kadar segera untuk permudahkan urusannya.
Sumber: Allan Cham Wei Lun | Facebook