KUALA NERANG: “Ayah selalu berpesan kepada sesiapa pun yang menziarahinya sebelum ini, supaya jangan meninggalkan al-Quran dan menjadikan kalam Allah SWT sebagai pegangan hidup,” kata Pirdaus Abdul Hamid, 41.
Beliau adalah anak kedua kepada ulama terkenal di Kedah, Allahyarham Tuan Guru Syeikh Abdul Hamid Ismail atau dikenali sebagai Pak Su Mid, 96, yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Alor Setar kira-kira jam 6 petang semalam, dipercayai akibat sakit tua.

Pirdaus memaklumkan, Allahyarham tidak pernah putus menerima kunjungan orang ramai ketika hayatnya, termasuk pemimpin negara yang datang menziarahi beliau untuk mendapatkan nasihat.
Beliau berkata, nasihat sering diberikan Allahyarham adalah seiring dengan amalannya sendiri yang sentiasa membaca al-Quran dan berpuasa.
“Apabila orang datang ziarah, ayah paling banyak memberi nasihat supaya amalkan membaca al-Quran. Ada juga yang datang membawa al-Quran. Ayah memberi amalan ayat suci al-Quran dan mereka mencatatnya.
“Kepada anak-anak dan siapa pun yang datang, ayah sentiasa nasihat serta berpesan supaya jangan meninggalkan al-Quran. Kalam Allah SWT adalah paling tinggi.
“Malah ketika sakit pun, ayah tetap dengan al-Quran. Walaupun tidak boleh membaca ketika itu, ayah selalu meminta pasangkan rakaman ayat suci al-Quran. Al-Quran sudah sebati dengan ayah,” katanya ketika ditemui di rumah beliau di Kampung Kuala Pai, di sini, malam tadi.
Pirdaus berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham selepas kesihatannya semakin merosot sejak tiga minggu lalu.
“Ayah memang sudah memberi isyarat tidak mahu ke hospital sejak tiga minggu lalu tetapi kami ahli keluarga berikhtiar juga untuk menghantarnya ke hospital. Namun sudah tiba masanya, kami reda,” katanya.
Beliau memaklumkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayer Hitam, Jerlun, pagi ini. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Inche Ollah Arshat berumur 60-an, tiga anak dan 10 cucu.
Sementara itu penyandang kerusi Parlimen Padang Terap yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata negara kehilangan seorang ulama yang sentiasa menjadi rujukan orang ramai.
“Kita kehilangan seorang ulama tersohor, bukan saja di Kedah tetapi juga pada peringkat nasional. Syeikh Abdul Hamid atau Pak Su Mid telah kembali ke Rahmatullah. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Pak Su Mid,” katanya selepas menziarahi jenazah Allahyarham.
