ISTANBUL – Sekurang-kurangnya 6 orang terkorban dan 81 lagi cedera dalam satu kejadian letupan yang berlaku di tengah-tengah bandar Istanbul malam tadi.
Memetik laporan BBC, letupan tersebut berlaku kira-kira jam 4.20 petang (waktu tempatan) berdekatan kawasan membeli-belah di Dataran Taksim.
Presiden Recep Tayyip Erdogan mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut dan memaklumkan bahawa pelaku bakal dihukum.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden, Fuat Oktay mendakwa bahawa letupan itu merupakan serangan pengganas yang dilakukan oleh seorang wanita.
Menteri Kehakiman, Bekir Bozdag turut memberitahu media Turki bahawa seorang wanita yang mencurigakan telah duduk di bangku berdekatan kawasan letupan selama lebih 40 minit.
Wanita itu kemudian dilihat meninggalkan tempat kejadian hanya beberapa minit sebelum letupan tersebut berlaku.
Bagaimanapun, pelaku masih belum dikenal pasti.
Susulan itu, pihak polis turut dilihat mengawal kawasan tersebut dan Jalan Istiklal dilaporkan ditutup buat sementara waktu.
Salah seorang saksi kejadian yang ketika itu berada di sebuah kafe internet di Jalan Istiklal berkata terdapat kekecohan yang disaksikan berlaku ketika itu.
“Ramai orang sedang berlari dan mangsa cedera yang lalu di hadapan kafe dilihat sedang bergegas ke hospital,” jelasnya.
Berikutan kejadian itu, penduduk tempatan juga mula berasa terancam dengan serangan yang dilakukan.
Terdahulu, satu letupan dilapor telah berlaku di laluan pejalan kaki popular di Istiklal Avenue dan video selepas kejadian itu tular di media sosial.
Sumber: BBC