Satu letupan mengejut berlaku di laluan pejalan kaki popular di Istiklal Avenue, Istanbul hingga menyebabkan kematian dan kecederaan dilaporkan pada Ahad, lapor Al-Jazeera.
Perkara itu dimaklumkan oleh seorang pegawai kanan (Turkiye) seperti yang dilapor Al-Jazeera, bagaimanapun punca letupan masih belum dikenal pasti.
Gabenor Istanbul Ali Yerlikaya menerusi ciapan berkata, letupan itu berlaku kira-kira 4.20 petang (9.30 malam waktu tempatan) pada Ahad dan menyebabkan beberapa kematian serta kecederaan dilaporkan, namun jumlahnya tidak dinyatakan.
Sementara itu terdapat sebuah video yang dikongsi dalam talian menunjukkan api meletus dan bunyi dentuman kuat sehingga membuatkan pejalan kaki melarikan diri daripada kawasan tersebut.
Orang awam berkata semua kedai dan laluan ditutup semasa tragedi berlaku dan dalam rakaman lain yang dikongsi, kelihatan ambulans, trak bomba dan polis berada di tempat kejadian.
Sementara itu, penyiar saluran CNN Turkiye berkata letupan itu menyebabkan 11 orang tercedera dan jalan yang berlakunya letupan itu merupakan laluan pejalan kaki yang sesak dipenuhi pelancong serta penduduk tempatan.
Dalam pada itu, wartawan Al-Jazeera Istanbul, Sinem Koseoglu berkata kenyataan rasmi masih belum dikeluarkan oleh pihak berkenaan mengenai kes tersebut.
“Terdapat syak wasangka yang kuat bahawa ini adalah bom bunuh diri, tetapi kami belum mempunyai sebarang kenyataan rasmi lagi (mengenainya),” katanya.
Koseoglu berkata letupan itu merupakan tragedi yang mengejut kerana tiada sebarang amaran dikeluarkan mengenai serangan yang akan berlaku di bandar berkenaan.
“Tetapi langkah keselamatan kekal tinggi di kawasan itu,” katanya.
Berita lanjut menyusul.
Sumber: Al-Jazeera