Kehilangan barangan berharga seperti MacBook dan iPad sememangnya mimpi ngeri buat para pemilik. Malah, berkemungkinan besar sangat sukar untuk didapatkan semula jika pencuri sudah beredar jauh dari kawasan anda.

Menerusi satu hantaran oleh pengguna Facebook yang bernama Arvin Tharan, beliau menceritakan kejadian kecurian barangan berharga miliknya di lokasi SS14 baru-baru ini. Apa yang menariknya, kesemua peranti Apple milik beliau berjaya didapatkan semula di samping berjaya memberkas suspek dalam tempoh sejam sahaja.

Sumber Gambar: FB Arvin Tharan

Kisahnya bermula apabila kereta beliau telah dipecah masuk dan sejumlah barangan berharga seperti iPad, MacBook Pro dan Apple Watch telah dicuri pada tarikh 18 Januari di lokasi SS14. Beliau yang menyedari perkara itu terus menjejak kesemua peranti miliknya menerusi aplikasi Find My Device.

Dalam tempoh sejam sahaja, pencuri tersebut berjaya dikesan berada di sekitar lokasi Sri Petaling. Selepas itu, beliau pun pergi balai polis berdekatan untuk membuat laporan polis dan meminta bantuan untuk pergi mendapatkan semula barangan miliknya yang mana pada ketika itu masih boleh dijejaki.

Dengan bantuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau pergi ke sebuah kedai makan yang dikesan masih memaparkan peranti masih di sekitar kawasan itu. Beliau diarahkan untuk menyam4r sebagai pelanggan dalam mengesan suspek di dalam premis kedai tersebut.

Kemudian, beliau menggunakan aplikasi Find My Device untuk misi jejakan dan mampu mengecam Apple Watch miliknya sedang dipakai oleh suspek itu. Tanpa berlengah lagi, beliau pun kelu4r dari premis kedai itu dan memanggil pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pihak polis terus meluru ke arah suspek lalu memberkas seorang suspek yang disyaki mengambil barangan mangsa. Kesemua barangan berharga beliau dikatakan sudah berjaya didapatkan semula dan sangat berterima kasih kepada pihak polis kerana sangat membantu di dalam situasi genting itu.

Difahamkan suspek melakukan seorang diri dan mempunyai rekod jenayah lampau memecah masuk kereta sebanyak 16 kali. Suspek bakal berdepan hukuman penjara sehingga enam bul4n lamanya jika didakwa bersalah.

Sumber Gambar: Apple

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bahawa kebolehan menjejak kesemua peranti ini hanya berlaku sekiranya masih mempunyai bateri yang cukup. Hal ini kerana peranti Apple perlu hidup untuk memberikan lokasi semasa bagi tujuan penjejakan.

Sebagai peringatan, anda diingatkan untuk tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kereta memandangkan ada sahaja penjenayah yang mahu mengambil peluang untuk memecah masuk. Selain itu, anda perlu aktifkan tetapan Find My Device pada akaun iCloud anda supaya boleh digunakan apabila berlaku kes sebegini.

  • SUMBER
  • FB Arvin Tharan