SEREMBAN – Suspek utama kegiatan pecah kereta di daerah ini dikesan memiliki pas media dari negara seberang dan masuk ke Malaysia menggunakan pas pelancong pada Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, suspek lelaki warganegara Indonesia berusia 34 tahun itu melakukan jenayah tersebut bersama isterinya berusia 30 tahun serta lima lagi rakan senegaranya.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek utama itu menemui identiti pas media Indonesia, namun kita m4sih menyiasat sama ada pas itu tulen ataupun tidak.
“Suspek dan isterinya ditahan pada 17 Februari lepas seterusnya membawa kepada penangkapan lima lagi suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita warganegara sama berumur 26 hingga 43 tahun, di Jalan Reko, Kajang pada Ahad lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seremban pada Selasa.
Menurut Nanda, pasangan suami isteri itu menggunakan modus operandi dengan memecahkan cermin segi tiga di belakang kenderaan menggunakan alat palam pencucuh sebelum melarikan barang berharga.
“Mereka kemudiannya menyerahkan barang curi itu kepada lima lagi suspek berkenaan untuk digadaikan atau dijual bagi mendapatkan wang,” katanya.
Jelas Nanda, kumpulan tersebut menyasarkan kenderaan yang diletakk4n di kawasan sunyi di sekitar bandar Seremban sejak Januari lalu.
“Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dalam tujuh kes curi barang dalam kenderaan dan pecah cermin kereta di sekitar daerah ini.