Lelaki tawar khidmat teman lelaki ‘online’ dengan harga RM3,500 sejam, sebulan boleh cecah RM30,000

Lelaki tawar khidmat teman lelaki ‘online’ dengan harga RM3,500 sejam, sebulan boleh cecah RM30,000.

Hanya menawarkan khidmat sebagai teman berbual bagi mengisi kesunyian, teman untuk bersiar-siar atau makan-makan, namun khidmat teman lelaki ‘online’ ini mampu meraih pendapatan mencecah RM30,000.

Begitu perkhidmatan ditawarkan seorang lelaki, Raihan, 20-an, (bukan nama sebenar) yang terbabit dalam kegiatan berkenaan ketika menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi awam di Selangor pada 2019 lalu.

Menurutnya, kadar harga ditetapkan berdasarkan perkhidmatan yang diinginkan oleh pelanggan, antaranya seperti teman berbual di telefon atau panggilan video dengan bayaran RM3,500 untuk satu jam.

Katanya, jika ada pelanggan yang mahu bertemu, dia akan menetapkan harga sama, namun bergantung kepada status pelanggan dengan anggaran pendapatannya boleh mencecah sehingga RM30,000 sebulan.

“Dalam sehari paling sikit seorang pelanggan dan paling banyak antara tiga hingga lima orang. Sebab saya masih belajar, jadi takut tak terkejar. Berapa lama (perkhidmatan) itu terpulang pada pelanggan. Makin lama, makin mahallah mereka kena bayar.

“Kalau dalam talian, selalunya saya teman mereka borak atau panggilan video. Malah, ada juga yang nak teman tengok mereka beronani. Macam-macamlah. Pendek kata, saya tak buat secara percuma, semuanya berbayar.

“Pelanggan saya pula terdiri daripada golongan kenamaan, profesional dan berkerjaya, berkahwin dan bujang, baik lelaki mahupun wanita,” katanya yang kini bekerja sebagai Eksekutif Jualan sejak 2022 lalu selepas menamatkan pengajian.

Menurutnya, pada awalnya aktiviti itu dibuat hanya sekadar untuk suka-suka sahaja hingga akhirnya menjadi seperti ‘kerjaya tetap’ apabila mendapat permintaan berulang daripada pelanggan sama.

Malah, katanya terdapat juga pelanggan yang mahu ditemani bercuti ke luar negara.

“Pada mulanya memang suka-suka saja. Sebab, selain belajar saya juga menjadi key opinion leader atau KOL bagi menjayakan kempen. Jadi, ada duit poket lain. Tapi, selepas itu sudah jadi macam satu kerjaya pula.

“Ada pelanggan yang berulang, ada yang sekali saja. Kalau dah kenal, lagi senang nak jumpa. Kalau yang one time saja tu, selalunya orang kenamaan.

“Ada juga yang sanggup bayar untuk teman pergi bercuti ke luar negara. Tapi, untuk kes sebegini, saya akan bawa bersama beberapa rakan untuk teman sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Menurutnya, semua perkhidmatan yang ditawarkan tidak membabitkan sebarang aktiviti terlarang seperti hubungan seks.

Katanya, dia juga menolak untuk menjadi kekasih sebenar kerana tidak mahu terikat dengan komitmen dalam perhubungan selain sibuk dengan pekerjaan.

“Apa saya buat ini sesuatu yang menyeronokkan. Pelbagai macam tawaran hadiah mereka mahu berikan, tapi saya tolak sebab tak nak komitmen.

“Macam baru-baru ni saya dapat tawaran RM15,000 untuk teman saja dan RM10,000 untuk lepak. Sekarang saya akan buat kalau ada waktu terluang (kerana sudah bekerja) dan tak ambil masa lama,” katanya.

Mampu peroleh RM50K sebulan kalau rajin ‘tadah telinga’

Pada mulanya hanya bergurau, namun apabila mampu meraih pendapatan sehingga mencecah RM50,000 menyebabkan pelajar sebuah kolej swasta di ibu negara ini ini terjebak dalam perkhidmatan teman lelaki ‘online’.

Maliq, 20-an, (bukan nama sebenar) berkata, sebelum ini dia membuat video menawarkan perkhidmatan itu yang dibuat sekadar gurauan akhirnya menjadikannya sebagai aktiviti menguntungkan,

Antara perkhidmatan ditawarkan seperti bersiar-siar menaiki skuter di Kuala Lumpur dengan harga RM169, menghantar bunga pada hari konvokesyen (RM139); menghantar makanan (RM89); panggilan video (RM6) dan banyak lagi.

“Idea (teman lelaki online) ini terfikir sewaktu belajar di kolej. Jujur saya cakap, bukan nak cakap besar atau sebaliknya, saya memang punyai ramai peminat di kolej.

“Dalam masa sama, saya agak letih melayan mesej atau panggilan telefon dan lain-lain di media sosial akibat terlampau ramai peminat.

“Dari situ, idea datang… kenapa tidak buka perkhidmatan ‘on call’ untuk yang ada masalah, tak tahu nak cerita dengan siapa, yang ‘introvert’ atau ‘extrovert’,” katanya.

Katanya, sebenarnya perkhidmatan teman lelaki online yang ditawarkannya lebih kepada konsultasi dan pendengar setia.

“Dalam masa sama, insya-Allah saya akan menjaga batas dan pada masa yang sama, saya adalah perunding yang baik untuk sebarang masalah yang mereka hadapi.

“Pada mulanya memang ada sikit kebimbangan. Pada video yang pertama, saya buat hanya sekadar melawak dan video itu dapat dalam 500,000 tontonan, hari kedua naik 900,000 hingga mencecah 1.3 juta tontonan.

“Kalau tengok komen di TitTok saya, semua memberi saya rating atau review tinggi. Dari situ saya memandang positif dari sudut saya boleh menjadi pendengar yang baik.

“Saya pernah mendengar luahan seorang lelaki yang ingin membunuh diri akibat tekanan hidup yang melampau. Alhamdulillah, dia tak jadi bunuh diri selepas mendengar sedikit nasihat dan melihat wajah saya,” katanya.

Menurutnya, dia menjadikan dirinya sebagai inspirasi dalam menjalankan perkhidmatan itu selain didorong oleh permintaan daripada ‘pelanggan’.

Katanya, terdapat juga segelintir orang kenamaan mengajaknya ke hotel, namun dia tidak berminat.

“Saya tidak meletakkan sebarang syarat, cuma jangan terlampau tekan dan jangan melebihi batas. Sebab banyak permintaan nak tengok muka saya yang kacak.

“Dalam masa sama, jaminan dipulangkan kalau muka tak kacak. Berapa sangat RM6 itu jika nak dibandingkan duit dalam bank saya,” katanya.

Berkongsi lanjut, katanya, pelanggan yang mendapatkan perkhidmatannya terdiri daripada semua golongan sama ada lelaki atau wanita tanpa mengira usia.

“Pelanggan saya ada pelbagai. Dari muda ke berusia, lelaki dan wanita. Artis, VVIP (kenamaan) semua ada. Macam saya cakap, selagi tak melebihi batas, saya akan teruskan. Maaf cakap, zaman ini duit adalah segala-galanya.

“Saya sudah dua bulan menjalankan perkhidmatan ini dan untuk tempoh itu pendapatan boleh mencecah RM50,000,” katanya.

Tak boleh dijadikan sumber pendapatan

Islam sangat menekankan pekerjaan yang halal dan baik sekali gus melarang sebarang perbuatan yang bercanggah dengan agama.

Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, perbuatan mengambil upah hingga didorong oleh niat untuk melakukan perbuatan zina adalah haram dan berdosa.

“Ingin ditegaskan Islam tekankan kepada pekerjaan yang halal lagi baik. Islam tidak langsung membenarkan mana-mana pihak untuk berurusan dengan orang Islam yang melakukan perkara yang haram dan bercanggah dengan undang-undang.

“Ini kerana dalam al-Quran jelas menuntut setiap umatnya taat kepada Allah SWT, Rasul dan pemimpin. Pemimpin ini maksudnya taat pada undang-undang.

“Perbuatan mengambil upah atau bekerja sebagai pelayan perempuan secara dalam talian atau fizikal dilarang dalam Islam. Layanan dimaksudkan adalah nafsu dan hiburan, yang boleh membawa kepada zina,” katanya.

Katanya, ini dibuktikan apabila lelaki yang membuat perkhidmatan ini mendapat tawaran melakukan seks, namun ditolak.

“Jadi perkara ini sudah ada niat dalam pekerjaan untuk lakukan yang haram. Maka semua perkara yang diharamkan dalam Islam, tidak boleh dibuat atau dijadikan sumber pendapatan,” katanya.

Katanya, setiap perkara yang membawa dan menyumbang kepada haram maka hukumnya adalah haram sekali gus perbuatan atau pekerjaan seperti ini sepatutnya tidak dibenarkan.

Baca Lagi:Selepas viral motor kena sita, rider Food Panda cerita kisah sebenar..Orang utan betina diperlaku seperti pelacur, dirantai di katil jadi hamba lelaki gila seksVideo detik-detik bayi selamat dari maut, merangkak cari ibu dari lori yang remuk

About Mat Lan Editor

Check Also

lelaki-cuba-tunjuk-hebat-buat-skil-‘drift’-terbabas-langgar-kereta

Lelaki cuba tunjuk hebat buat skil ‘drift’ terbabas langgar kereta

Polis menahan pemandu kereta Toyota Supra yang melakukan aksi ‘drift’ sehingga terbabas melanggar sebuah kenderaan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recent Comments