Gara-gara suami gagal bayar hutang RM540,000, isteri kena culik dikurung 10 hari

Gara-gara suami gagal bayar hutang RM540,000, isteri kena culik dikurung 10 hari.

Wanita warga Indonesia bukan sahaja berhadapan detik ngeri malah turut dicederakan selepas diculik sekumpulan lelaki selama 10 hari sebelum disembunyikan di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, berikutan suaminya gagal membayar hutang RM540,000.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata mangsa berusia 34 tahun dan berasal dari Medan diculik pada 7 September lalu susulan suaminya juga warga Indonesia dipercayai berhutang dengan lelaki tempatan yang juga kontraktor, di sini berkaitan perniagaan mereka.

“Mangsa bersama tiga rakan wanitanya sedang bercuti di sini telah diculik tiga lelaki di kawasan Paya Terubong, namun kawan-kawannya dilepaskan tanpa dicederakan oleh suspek manakala wanita itu dibawa ke Butterworth, untuk dikurung di situ.

“Suspek utama kemudian meminta wang tebusan daripada suami mangsa yang berada di Indonesia sebelum mangsa dilarikan serta dikurung di beberapa lokasi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya suami mangsa berusia 47 tahun yang merupakan ahli perniagaan telah membuat transaksi pembayaran berjumlah RM50,750 menerusi pengurup wang namun isterinya masih tidak dilepaskan sebelum suspek meminta bayaran tambahan RM540,000 dan dia terus ke Malaysia kerana bimbang keselamatan wanita itu.

Khaw berkata suaminya bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Kinrara, Selangor pada 15 September lalu dan bertindak daripada maklumat tersebut polis melancarkan Op Scorpion Rantai bagi mengesan suspek serta menyelamatkan mangsa.

Katanya polis berjaya menyelamatkan wanita itu dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor pada 5.15 pagi 17 September dan siasatan mendapati mangsa dikurung tiga hari di Butterworth, empat hari di Puchong dan tiga hari di Shah Alam.

“Suspek dipercayai bertindak mengurung mangsa di beberapa lokasi berlainan bagi menyukarkan polis mengesan lokasi wanita itu. Semasa serbuan di rumah itu, polis turut menyelamatkan seorang lelaki warga Indonesia yang turut diculik kumpulan berkenaan namun dia tiada kaitan dengan kes wanita itu,” katanya.

Beliau berkata wanita itu ketika diselamatkan cedera seluruh badan dan mangsa dipercayai diikat, dicucuh dengan puntung rokok, dicucuk dengan jarum pada kukunya, dipukul, tangan dan kaki diikat pengikat kabel malah turut dirantai.

“Ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan lemah dengan tubuhnya mengalami kecederaan. Bagaimanapun, mangsa diberi makan oleh suspek. Wanita itu yang merupakan peniaga dalam talian kini dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Khaw berkata hasil siasatan lanjut mendapati suspek utama adalah rakan perniagaan suami mangsa dan dipercayai berhutang wang perniagaan serta gagal membayarnya, menyebabkan lelaki itu berang sebelum menculik wanita tersebut.

Katanya mereka berdua merupakan kontraktor dan menjalankan perniagaan bersama di Kuala Lumpur dan suspek yang menyedari wang perniagaan tidak dibayar bertindak menculik mangsa bagi mendapatkan wangnya semula.

“Pihak polis merampas beberapa barangan antaranya 23 telefon bimbit, 36 pengikat kabel, wang tunai RM4,800, rantai besi dan batang besi. Kami turut menyita empat kenderaan termasuk kereta yang digunakan untuk membawa lari mangsa,” katanya.

Beliau berkata hasil operasi itu polis menahan 14 individu termasuk dua warga asing berusia 23 hingga 70 tahun di beberapa lokasi di sekitar Selangor, Perak dan Kuala Lumpur pada hari sama mangsa diselamatkan.

“Mereka yang ditahan adalah suspek utama berusia 35 tahun, sembilan lelaki warga tempatan, dua wanita warga tempatan dan dua lelaki warga asing, mereka mempunyai peranan masing-masing dalam kes culik tersebut,” katanya.

Menurutnya lima daripada yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dan semua direman tujuh hari sehingga 23 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Baca Lagi:Tuan rumah terkejut masuk rumah lihat perempuan telanjang tonton televisyenChe Ta kecewa akaun Instagram punyai 5.2 juta pengikut digantung selepas didakwa melakukan aktiviti agresifMemang tak berhati perut! Penumpang kejar bas setelah ditinggalkan kerana lewat satu minit, pemandu terus tutup pintu

About Mat Lan Editor

Check Also

kelibat-4-‘pontianak-berkeliaran-di-pekarangan-snbj-curi-perhatian-ramai

Kelibat 4 ‘pontianak berkeliaran di pekarangan SNBJ curi perhatian ramai

Kelibat 4 ‘pontianak berkeliaran di pekarangan SNBJ curi perhatian ramai. Perlawanan final Piala FA membabitkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recent Comments