Wanita ini pilih kerjaya sebagai ‘pet sitter’ dari rumah ke rumah mampu raih RM12k sebulan

Wanita ini pilih kerjaya sebagai ‘pet sitter’ dari rumah ke rumah mampu raih RM12k sebulan.

Kerjaya sebagai ‘pet sitter’ atau penjaga haiwan peliharaan dari rumah ke rumah semakin dikenali dan menjadi pilihan dalam kalangan anak muda apatah lagi bidang itu dianggap mudah selain memberikan pulangan lumayan sehingga mampu memperoleh lebih RM12,000 sebulan.

Namun di sebalik semua itu, tanggungjawab ‘pet sitter’ sebenarnya sangat berat kerana ia membabitkan keyakinan pelanggan dan keselamatan haiwan kesayangan mereka.

Selain itu, individu yang menawarkan perkhidmatan terbabit juga perlu mempunyai kemahiran pengurusan dan pengendalian haiwan yang diyakini dan paling penting mempunyai minat serta sifat kasih yang mendalam terhadap haiwan.

Berkongsi pengalaman sebagai ‘pet sitter’, Norliyana Harun, 34, yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai haiwan, menawarkan perkhidmatan itu sejak enam tahun lalu secara sepenuh masa di sekitar Gombak, Selayang dan Kuala Lumpur.

Katanya, bukan saja menawarkan perkhidmatan untuk penjagaan kucing tetapi dia turut bersedia menguruskan beberapa haiwan eksotik seperti musang pandan mengikut kesesuaian dan permintaan pelanggan mereka.

“Setakat ini saya mempunyai empat pelanggan tetap yang mahu saya menguruskan kira-kira enam hingga 10 kucing berbaka dan memberikan sepenuh kepercayaan berdasarkan pengalaman dan ilmu pengurusan haiwan serta pembabitan aktif dalam kerja amal haiwan jalanan.

“Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada golongan korporat, VIP, kenalan rapat dan pelanggan yang datang membeli barang di ‘petshop’ tempat saya bekerja sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, tidak dinafikan kerjaya berkenaan memberikan pendapatan lumayan hingga mampu mencecah RM12,000 sebulan, malah apabila musim cuti akan meningkat sehingga pernah memperoleh hampir RM20,000.

Katanya, perkhidmatan ‘pet sitter’ sama seperti ‘boarding cat hotel’ kerana bermusim namun ada pelanggan yang mengambil perkhidmatannya secara kontrak selama setahun dan akan diperbaharui apabila mendapat kepercayaan mereka.

“Setiap bulan biasanya saya mempunyai enam hingga sembilan rumah termasuk empat pelanggan tetap.

“Tugas saya tidak hanya terhad kepada kerja pembersihan tempat kucing tetapi pengurusan menyeluruh termasuk makanan, minuman, kesihatan dan penjagaan diet haiwan berkenaan.

“Saya juga memastikan setiap ceruk tempat, sangkar, bekas najis, makan dan air dibersihkan serta dinyahkuman untuk mengelakkan sebarang jangkitan virus dan bakteria terhadap haiwan yang diuruskan serta memantau kesihatannya.

“Selain itu, saya perlu menjaga kebersihan diri dan sebab itu untuk menjadi seorang ‘pet sitter’ profesional, ia memerlukan ilmu pengurusan haiwan yang betul serta pengalaman dalam pengurusan haiwan,” katanya.

Norliyana berkata, kerjaya itu mempunyai cabaran tersendiri dan untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan pada mulanya tidak mudah dan perlu mengambil masa.

‘Seronok sebab tak terikat majikan’

“Bermula sebagai pencinta kucing dan menjaga 10 kucing di rumah akhirnya membuka peluang kepada saya untuk mencari pendapatan melalui bidang ‘pet sitter’ sejak setahun lalu,” kata Nursyabila Afinie Rosli.

Nursyabila Afinie, 26, memilih kerjaya sebagai ‘pet sitter’ dari rumah ke rumah sepenuh masa di sekitar daerah Kerian, Perak meliputi kawasan Parit Buntar, Bagan Serai, Kuala Kurau dan Tanjung Piandang.

Menurutnya, jika ada permintaan dia akan ke Pulau Pinang serta mengakui minat menyebabkannya sanggup mengambil kursus dan sijil berkaitan untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran sekali gus mendapatkan kepercayaan pelanggan.

“Saya memilih bidang ini kerana tidak terikat dengan majikan selain memudahkan saya menguruskan keluarga.

“Walaupun saya menguruskan 10 kucing pelbagai baka di rumah tetapi saya tetap menyertai kursus pengendalian haiwan.

“Biarpun perkhidmatan saya di kawasan pekan kecil tetapi tak sangka ia mendapat sambutan dan masyarakat sudah mula mengenali serta memahami tugas ‘pet sitter’.

“Dalam seminggu saya akan melakukan kerja di satu atau dua rumah pelanggan.

“Pulangan yang diterima ada pasang surutnya dan mengikut musim tetapi bagi saya masih berbaloi. Sebulan saya boleh dapat antara RM1,000 hingga lebih RM3,000 mengikut jumlah kucing yang diuruskan,” katanya.

Menurutnya, selain menguruskan makan dan minum, membuang najis, membersihkan kawasan haiwan itu, dia juga akan meluangkan masa bermain dengan kucing pelanggan selain turut merakam video keletah haiwan itu untuk diberikan kepada pemilik masing-masing.

Katanya, dia mempunyai dua sijil sebagai pendandan kucing profesional yang mana bukan saja diajar mengenai penjagaan dan mandian kucing, malah didedahkan dengan pengenalan tingkah laku dan sikap haiwan itu.

“Bagi saya kerjaya ini bukan saja memberi pendapatan tetapi sebagai terapi diri kerana berinteraksi dengan kucing dapat mengurangkan tekanan, malah saya anggap ia pendengar setia dan gelagatnya juga menghiburkan,” katanya.

‘Minat, sayang haiwan saja tak cukup jika tiada kemahiran’

Kerjaya penjaga haiwan peliharaan atau ‘pet sitter’ tidak digalakkan jika individu itu hanya bersandarkan kepada status pencinta haiwan atau mahu mendapatkan wang mudah tetapi tiada kelayakan serta kemahiran.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) Arie Dwi Andika berkata, kerjaya terbabit mula diterima dalam kalangan masyarakat sejak 2018 dan semakin dikenali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ketika itu ramai mencari pendapatan tambahan.

Menurutnya, ketika ini kerjaya itu lebih banyak menawarkan perkhidmatan penjagaan kucing berbanding haiwan lain kerana ia dijaga dalam jumlah banyak dan boleh dikatakan mereka yang memilih kerjaya terbabit adalah pencinta haiwan.

“Sememangnya kerjaya ini sesuai untuk mereka yang ikhlas menyayangi haiwan tetapi perlu diingatkan individu itu mesti mahir mengendalikan haiwan, memahami kemahuan dan sifatnya kerana kita tidak mahu khidmat yang ala kadar.

“Biarpun pandangan kasar kita, kerja ini dilihat mudah dan tidak berhubung dengan individu lain tetapi ia tetap memerlukan tanggungjawab tinggi, memberi perhatian penuh dan perkhidmatan yang memuaskan kerana membabitkan haiwan peliharaan yang disayangi pelanggan,” katanya.

Arie Dwi berkata, pihaknya menggalakkan ‘pet sitter’ menyertai kursus pengendalian haiwan untuk mendapatkan sijil dan kemahiran supaya memperoleh kepercayaan pemilik selain semua pihak perlu sentiasa memastikan keselamatan masing-masing termasuk haiwan yang diuruskan.

Katanya, biarpun bekerja sendiri, ‘pet sitter’ perlu mempunyai insurans selain disaran membuat rakaman aktiviti mereka, malah pelanggan juga digalakkan memasang kamera litar tertutup sebagai langkah mengelakkan perkara berbangkit membabitkan keselamatan dan kerugian.

Baca Lagi:Baring sambil tunggang motosikal, guna kaki pulas minyak…aksi ngeri lelaki ini buat ramai bengang!Pembelian pesawat tempur FA-50 oleh TUDM jadikan Malaysia miliki pertahanan udara terkuat di Asia TenggaraMcDonald’s Malaysia lapor polis pelanggan agresif gara-gara sos cili, dedah perkara sebenar

About Mat Lan Editor

Check Also

‘gajah-rempuh-kereta-aku!-syukur-semua-selamat-kereta-boleh-baiki’

‘Gajah rempuh kereta aku! syukur semua selamat kereta boleh baiki’

Sebuah keluarga berdepan detik cemas setelah kenderaan yang dinaiki dirempuh seekor gajah ketika melalui Lebuhraya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recent Comments