Enggan label Hamas sebagai pengganas, Malaysia terima 3 notis dari AS.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini (31 Oktober) mendedahkan bahawa Malaysia menerima dua notis demarche daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kerana enggan menganggap pejuang Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Menurut Anwar, dua notis itu diterima daripada Kementerian Luar pada 13 dan 30 Oktober lalu serta satu panggilan untuk wakil Malaysia di AS pada 18 Oktober.
Menjawab kepada persoalan tentang apakah bentuk ancaman yang diterima, beliau menjelaskan bahawa Kedutaan AS telah menekan Malaysia sebanyak tiga kali supaya memperakui Hamas sebagai kumpulan pengganas.
“Ia disebabkan pendirian kita terutama keengganan kita menganggap Hamas itu sebagai badan pengganas,” kata beliau semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMTQ) di Dewan Rakyat.
Semua Negara Islam Sepakat Dengan Isu Pembukaan Laluan Kemanusiaan Tanpa Sekatan
Dalam pada itu, Anwar turut berkata kesemua negara Islam telah sepakat bahawa pembukaan laluan kemanusiaan tanpa sekatan ke Gaza adalah satu keutamaan.
Isu berkenaan telah dibangkitkan semasa lawatan kerja beliau ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir berhubung serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Selain itu, Malaysia turut menyatakan kesediaan negara bekerjasama dengan negara-negara Islam dan sehaluan (like minded countries) lain bagi mencari penyelesaian yang adil dan menyeluruh untuk menangani konflik di Palestin.
Pendirian teguh negara untuk menyokong perjuangan Palestin juga dikongsi bersama 119 negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semasa Mesyuarat Tergempar Majlis Keselamatan PBB pada 27 Oktober lalu.
Wan Fayhsal Berkata Demarche Daripada Pihak AS Bukan Satu Ugutan
Sementara itu, Anggota Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata demarche yang dikatakan oleh PMX itu bukanlah bermaksud ugutan.
Jelasnya, ia adalah satu istilah teknikal yang merujuk kepada pendirian rasmi kerajaan iaitu berkaitan isu Palestin tersebut.
“Beliau menganggap itu satu ugutan tapi saya rasa ini tidak tepat, dia ada impak yang serius terhadap hubungan luar kita dengan mana-mana negara yang dilihat mengancam atas pendirian tentang Palestin,” kata beliau dalam sidang media di Parlimen.
Wan Fayhsal dalam masa sama turut mengaitkan perkara yang dilalui oleh Anwar pada ketika ini dengan masalah yang dihadapi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terdahulu tentang kelantangan bersuara isu Palestin.
“Kalau ikut sejarah dan diplomasi dasar luar Malaysia, Tun Mahathir lebih lantang, berani serta tegas dalam isu ini tapi tak pernah sekali berkata beliau diugut,” tambahnya lagi.
Baca Lagi:Sajat nafi pegang cawan minuman keras di konsert terbuka Australia, sifatkan netizen sebagai penyibuk dan ‘banyak mulut’Supermodel terkenal tayang barang kemas RM2.06 juta di majlis perkahwinanMesin ATM dalam ‘hutan’ berdekatan dengan kubur, gadis kongsi pengalaman menyeramkan