Lelaki maut selepas telekung isteri tersangkut pada tayar motosikal.
Lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera akibat kemalangan ketika dalam perjalanan untuk solat maghrib di Masjid Kariah Juasseh Seberang, Jalan Juasseh Terusan Seberang, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, motosikal ditunggang pasangan warga emas itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas apabila telekung isteri mangsa tersangkut pada tayar belakang motosikal.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani, berkata mangsa lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah kira-kira jam 3.50 pagi semalam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggang seorang lelaki 64 tahun bersama pembonceng wanita 60 tahun dalam perjalanan ke masjid itu untuk solat maghrib,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Katanya, dipercayai telekung pembonceng masuk ke bahagian tayar belakang menyebabkan motosikal hilang kawalan lalu terbabas dan kedua-dua mangsa terjatuh ke jalan dan tidak sedarkan diri.
Anggota Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah menerima panggilan dari Unit Forensik, Hospital Kuala Pilah, pada jam 3.53 pagi semalam memaklumkan penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah.
“Pembonceng wanita pula cedera di muka, bibir berjahit dan patah beberapa batang gigi,” katanya.
Baca Lagi:Kereta Jaguar XK150 terbiar di belakang reban ayam selama 25 tahun berharga RM576,000Gempar! mahkluk putih bertubuh sasa ditemui berkeliaran di kawasan pergununganLeona anak Azhar Sulaiman buat hal lagi, kali ini belanja lain macam