Peniaga Pasar Siti Khadijah ‘bergocoh’ kerana berebut pelanggan.
Perebutan pelanggan menyebabkan sekumpulan peniaga di Medan Selera Laman Siti Khadijah di sini, saling tidak berpuas hati sehingga mencetuskan pergaduhan di antara mereka.
Kejadian berlaku jam 5 petang kelmarin susulan pertengkaran membabitkan sekumpulan lelaki dan wanita, disyaki pemilik serta pekerja masing-masing, yang berlarutan kepada pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kes itu malam tadi.
“Siasatan mendapati, kejadian dipercayai berpunca dari isu berebut pelanggan di antara peniaga gerai makan di Laman Siti Khadijah.
“Kedua-dua belah pihak, pemilik premis berusia 30-an dan 40-an tampil ke Balai Polis Kota Bharu untuk membuat laporan tetapi beberapa jam kemudian, mereka menarik balik laporan terbabit dengan alasan ingin menyelesaikan perkara itu secara aman.
“Bagaimanapun kami tetap meneruskan siasatan dan akan mengesan serta menangkap suspek yang terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya gaduh rebut customer…adoi..
Kejadian kat gerai makan laman Pasar Siti Khadijah 2hari lepas….dah jadi kes Polis…https://t.co/xCAxu5xANV pic.twitter.com/GQYqDU1GW7
— rizalhakimm (@rizalhakimm1) November 8, 2023
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) yang mana jika disabitkan dengan kesalahan, kesemua yang terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Video berdurasi 1 minit 22 saat mengenai pergaduhan itu tular sejak petang semalam dan berdasarkan itu, Mohd Rosdi berkata, pihaknya akan terus menjalankan siasatan lanjut dan tindakan susulan akan diambil kerana kejadian yang berlaku menjejaskan keamanan masyarakat.
“Tindakan kedua-dua pihak yang cuba menarik balik laporan polis dengan tujuan untuk selesaikan sendiri bukan penyelesaiannya kerana kesan pergaduhan itu menjejaskan keamanan masyarakat secara amnya.
“Pihak polis akan terus menjalankan siasatan dan tindakan susulan bakal diambil kerana tidak mahu orang ramai terbiasa dengan tindakan sendiri yang membelakangi peruntukan undang-undang semasa,” katanya.
Baca Lagi:Semalam Gua Musang, kini MP Jeli dari Bersatu pula nyata sokongan kepada AnwarAskar upahan terkenal dedah ‘rahsia’ Israel guna tentera upahan asingTular video pekerja restoran ‘Nasi Kandar’ buat kerja sambil pakai spender, netizen bengang tak tahu nama restoran dan lokasi