“Saya tidak berani buka pintu” – Penduduk Parit Raja, Ayer Hitam diganggu ketukan misteri.
Ketukan demi ketukan kedengaran namun apabila pintu dibuka, tiada siapa di luar. Itulah kejadian misteri didakwa menimpa beberapa rumah di sekitar Parit Raja dan Ayer Hitam, di sini sejak malam Khamis lalu dan terus berlarutan hingga malam tadi.
Misteri ketukan itu terus menghantui penduduk terutama mereka yang tinggal di Kampung Parit Haji Siraj apabila semua rumah di kawasan itu menjadi ‘mangsa’ ketukan bermula awal pagi yang dipercayai ada kaitan dengan amalan ilmu hitam.
Selain kampung terbabit, beberapa lagi penduduk di kawasan lain seperti Parit Haji Salleh, Parit Samion, Parit Kangkar serta kawasan sekitarnya turut mengalami nasib sama.
Penduduk Parit Haji Siraj, Nur Yana Nazwa Hussin, 35, berkata, rumahnya antara terawal menjadi ‘serangan’ itu apabila pintunya diketuk sebanyak tiga kali sejak malam Khamis lalu.
Ibu kepada dua anak berkata, kejadian pertama pada jam 2 pagi Jumaat lalu apabila tingkap hadapan rumah diketuk sebelum dia membuka namun tiada kelibat sesiapa pun.
“Saya bersama suami (Nizam Sarbini, 46) ada di rumah dan dia terus keluar melihat siapa individu terbabit. Puas kami keliling rumah mencari namun tiada kelibat yang kelihatan.
JOHOR 08/11/2023
Rakaman cctv kes ketukan misteri yang mengganggu penduduk di sekitar kawasan Parit Raja dan Ayer Hitam, Batu Pahat.
Ramai mendakwa rumah masing-masing diketuk bermula jam 2 pagi. pic.twitter.com/X0rr6jN6iK
— jijiee malaya (@khairulazizi75) November 9, 2023
“Kejadian kedua pula, ‘dia’ ketuk pintu belakang dan malam semalam, pintu hadapan pun kena ketuk. Waktu ketukan itu berlaku sekitar jam 2 pagi namun, saya tidak berani buka pintu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Menurutnya, apabila memuat naik perkara itu di media sosial, penduduk kampungnya serta sekitar turut memberitahu perkara sama.
“Ada yang mengatakan bahawa, kejadian ini ada kaitan dengan amalan ilmu hitam kerana ada individu mahu test (cuba) kekuatan ilmu itu, namun sejauh mana kebenaran saya tidak pasti.
“Kebetulan rumah ada CCTV (kamera litar tertutup), saya buka dan lihat tetapi tiada kelibat siapa pun waktu pintu diketuk. Yang kami nampak cahaya halus dan panjang menuju ke arah rumah ibu bapa (Rosidah Nasir, 56, dan Hussin Markon, 65),” katanya.
Katanya, pasukan paranormal yang menjalankan perubatan Islam sudah datang ke kampungnya malam tadi untuk rawatan.
“Mereka beritahu memang ada makhluk cuma tidak dimaklumkan macam mana (makhluk itu). Rumah kami pun sudah ‘dipagar’ bagi mengelak gangguan berulang.” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ridwan Jemain, 34, berkata kejadian ketukan di rumahnya berlaku pada malam Rabu lalu.
“Ketika itu, saya sudah tidur tetapi yang dengar (ketukan) adalah isteri (Nor Syamila Shahira Ramlan, 30). Bunyinya sangat kuat macam orang tumbuk pintu.
“Dalam tiga empat kali, bunyinya terus hilang. Isteri langsung tidak buka pintu kerana sudah tahu bukan orang yang datang,” katanya.
Baca Lagi:MP Kepala Batas kata Lim Kit Siang & Lee Kuan Yew sepupu, DAP beri tempoh 48 jam buktikan dakwaanKereta Jaguar XK150 terbiar di belakang reban ayam selama 25 tahun berharga RM576,000Gerai minuman jual air teh guna nozel minyak jadi perhatian ramai