Anak temui bapa mati dalam pejabat selepas 4 hari tak balik rumah.
Seorang bekas pengurus sebuah kilang di sini yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu ditemukan meninggal dunia di pejabatnya, di Bandar Laguna Merbok, di sini, malam semalam.
Faizuri Md Akhir, 51, ditemui dalam keadaan tertiarap di ruang pejabat oleh dua anak lelakinya selepas terpaksa memecahkan pintu pejabat itu pada jam 7.22 malam.
Anak keduanya, Abd Afham Asyraf Faizuri, 28, berkata, bapanya dipercayai keluar dari rumah mereka di Taman Desa Aman, Guar Chempedak ke pejabat itu sejak pagi Khamis lalu.
Bagaimanapun, katanya sehingga keesokan hari bapanya tidak pulang ke rumah menyebabkan dia dan ibunya, Ramnah Sabdli, 52, menganggap bapanya pergi menziarahi nenek di Pokok Asam,Taiping, Perak.
“Memang kebiasaannya bapa selalu ke rumah nenek setiap hujung minggu menyebabkan kami mulanya menyangka dia pergi ke sana.
“Namun yang peliknya, dia tidak menghantar mesej memaklumkan keberadaannya malah talian telefonnya tidak dapat dihubungi menyebabkan kami sekeluarga mula risau,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.
Menurut Abd Afham, dia mula tergerak hati untuk menghubungi neneknya pagi semalam namun terkejut apabila dimaklumkan bapanya tiada di situ.
Katanya, dia dan ibunya kemudian cuba menghubungi ahli keluarga terdekat termasuk kenalan bapanya tetapi hampa apabila semua mereka tidak mengetahui di mana bapanya berada.
“Namun, petang semalam, saya dan adik, Amirul Solihin, 19, bergegas ke pejabatnya dan mendapati kereta bapa iaitu Hyundai Matrix masih berada di tempat parkir di bawah pejabatnya.
“Kami kemudian bertindak memecah pintu pejabat yang disewa bapa tetapi terkejut mendapati dia dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal dunia sebelum bertindak memaklumkan kepada pihak polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata sebaik mendapat maklumat kejadian itu pihaknya bergegas ke lokasi.
“Kita menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dan pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam lalu dan temu bual dengan anaknya mendapati mangsa mempunyai sejarah rawatan sakit jantung,” katanya.
Zaidy berkata, mayat kemudian dihantar untuk bedah siasat di HSAH dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Baca Lagi:Tak sempat habiskan al-Fatihah, boleh ke tinggal bacaan sebab imam dah rukuk? Ini penjelasannyaPekerja asing kahwin warga tempatan boleh dihalau dari Malaysia – JIMPiramid tertua di dunia ditemui tersembunyi di bawah Gunung Padang