Ramai terkejut Siti Bainun dah kurus sejak masuk penjara, turun berat badan 60kg
Susuk tubuh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang semakin kurus menarik perhatian ramai pihak ketika hadir untuk pendengaran rayuan di Mahkamah Tinggi hari ini.
Difahamkan, berat badan wanita berusia 31 tahun itu mencecah 150 kilogram ketika mula menjejakkan kaki ke tirai besi, 3 Mei lalu namun kini menyusut kepada 90kg sahaja.
Ini bermakna, dia yang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella mengalami penurunan berat badan 60kg dalam masa enam bulan.
Dia yang memakai jubah merah jambu, dibawa ke mahkamah dengan diiringi anggota penjara.
Ketika disapa media sama ada dia sihat atau tidak, Siti Bainun hanya mengangguk sambil tersenyum.
Terdahulu, dalam prosiding hari ini, Hakim Datuk Noorin Badaruddin menangguhkan pendengaran rayuan hukuman serta sabitan dan menetapkan 7 Disember ini bagi bagi pengurusan kes.
Ini kerana peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun selaku perayu memaklumkan terdapat nota keterangan daripada saksi pembelaan kelapan yang belum lengkap.
“Justeru pihak kami memohon satu tarikh lain bagi pengurusan kes seterusnya,” kata peguam itu.
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diiringi anggota polis wanita selepas hadir untuk pendengaran rayuan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Video NSTP/Aizuddin Saad pic.twitter.com/lul2kUGvNK
— Berita Harian (@bharianmy) November 14, 2023
Pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad.
Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pada 23 Mei, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.
Ini bermakna wanita berusia 31 tahun itu kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Baca Lagi:Penyunting video kongsi kisah seram, hilang selama 2 hari hanya ditemani bunyi loceng dan diperhatikan lembaga tinggiHotel Sheraton Imperial tawar tempoh penginapan 24 jam mengikut waktu daftar masukPempengaruh jelita dari Brazil maut ketika proses sedut lemak di lutut, sempat swafoto di gym sehari sebelum meninggal