Kes Altantuya: Sirul dakwa jadi kambing hitam, akui terima RM1 juta untuk tutup mulut

Kes Altantuya: Sirul dakwa jadi kambing hitam, akui terima RM1 juta untuk tutup mulut.

Bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, merayu untuk meneruskan hidup di Australia, sambil menyatakan berbahaya kepadanya untuk kembali pulang ke Malaysia.

Dalam wawancara eksklusif bersama Aljazeera English 101 East yang disiarkan pagi ini, Sirul Azhar turut memohon kemaafan kepada keluarga Altantuya dan minta diampunkan.

FMT melaporkan, dalam wawancara pertama sejak dibebaskan dua minggu lalu dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney itu, Sirul Azhar mendakwa dia tidak bertanggungjawab ke atas pembunuhan Altantuya walaupun disabitkan bersalah oleh mahkamah di Malaysia.

Dia mendakwa dijadikan kambing hitam dan diperangkap dalam permainan politik yang mana dia mengakui menerima RM1 juta ketika berada di Australia daripada sumber tidak dinamakan bertujuan “menutup mulut.”

Dia juga ada membuat beberapa dakwaan yang tidak dapat disahkan terhadap beberapa personaliti individu ternama.

“Saya merayu kepada masyarakat di sini untuk menerima saya. Saya berjanji kepada anak lelaki saya tidak sesekali akan melanggar undang-undang di sini. Saya (akan) patuh segala-galanya. Saya menyedari adalah sangat tidak selamat untuk kembali ke sana (Malaysia).

“Apa sahaja berlaku, saya mahu membina kehidupan bersama anak saya di Australia. Saya berharap masyarakat Australia menerima saya seadanya. Saya bukan orang jahat.

“Saya cintakan Australia jauh di sudut hati, dari jiwa. Berikanlah saya peluang kedua. Satu lagi…saya mahu memohon kemaafan kepada keluarga Altantuya. Tolong maafkan saya. Itu sahaja,” katanya.

Akhbar Australia, The Sydney Morning Herarld, sebelum ini melaporkan, Sirul Azhar dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen negara itu sejak 2015.

Dia ialah antara sekumpulan tahanan imigresen yang dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Australia memerintahkan menahan tahanan tanpa tempoh adalah pelanggaran undang-undang.

Arahan itu membatalkan keputusan 2004 yang menyatakan individu bukan warganegara tanpa visa boleh dikenakan tahanan tanpa tempoh tertentu dengan syarat kerajaan berhasrat mengeluarkan mereka sesegera mungkin.

Sirul Azhar berkata, pegawai polis Malaysia sudah bertemu dengannya sehari selepas dibebaskan dan memaklumkan menteri hal ehwal luar Australia ada menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia menanyakan sama ada dia selamat berada di Canberra.

“Mereka memberitahu beliau saya selamat. Tapi, saya kecewa, lihat sahaja berita semuanya jahat tentang saya. Jadi, masyarakat di sini sangat, sangat takut kepada saya. (Mereka fikir) Sirul berbahaya,” katanya.

Australia tidak mengusir Sirul Azhar ke Malaysia berikutan undang-undang negara itu tidak membenarkan mereka berdepan hukuman mati dikembalikan ke negara asal.

Altantuya dikatakan terbabit skandal dengan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang juga sekutu rapat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Warga Mongolia yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses perundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada kerajaan Malaysia, dibunuh dua pengawal peribadi Najib pada 18 Oktober 2006.

Berikutan itu, dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Sirul Azhar yang ketika itu berpangkat Koperal dan Cif Inspektor Azilah Hadri ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya, pada November 2006.

Pada 9 April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah atas kesalahan membunuh Altantuya, bagaimanapun kedua-duanya memfailkan rayuan atas hukuman mereka.

Pada Februari 2012, permohonan rayuan mereka berlangsung selama tiga hari dan akhirnya pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah dan Sirul Azhar dilepas dan dibebaskan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan atas keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan pendengaran rayuan berlangsung pada 23 Jun 2014.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan kemudian sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan, pada 13 Januari 2015.

Sirul Azhar meninggalkan Malaysia pada 2014 ketika kes itu masih lagi dalam rayuan, dan tidak pulang ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sirul kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Australia dan dasar negara itu adalah tidak menghantar pulang individu yang berdepan dengan hukuman mati di negara asal.

Baca Lagi:Tinggal anak bawah 10 tahun dalam kenderaan boleh didenda lebih RM600Pereka fesyen terkenal dedah harga busana berona emas Aina Abdul cecah RM120,000Kecoh! Wanita bogel ganggu penumpang di lapangan terbang

About Mat Lan Editor

Check Also

lelaki-cuba-tunjuk-hebat-buat-skil-‘drift’-terbabas-langgar-kereta

Lelaki cuba tunjuk hebat buat skil ‘drift’ terbabas langgar kereta

Polis menahan pemandu kereta Toyota Supra yang melakukan aksi ‘drift’ sehingga terbabas melanggar sebuah kenderaan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recent Comments