Malin Gunung kongsi pengalaman aneh bawa pendaki ke puncak Gunung Tahan

Malin Gunung kongsi pengalaman aneh bawa pendaki ke puncak Gunung Tahan.

“Kalau hendak dikira, sudah ratusan kali saya sampai ke puncak gunung itu. Ibaratnya, pokok-pokok dan batu-batu di setiap laluan itu sudah cam wajah ni,” kata lelaki tua berjanggut putih itu tersenyum.

Lelaki ini mesra disapa Pak Chu. Usianya 71 tahun. Orang di sekitar Kuala Tahan di daerah Jerantut, Pahang memang kenal sangat dengan Pak Chu yang sejak zaman mudanya sudah mengabdikan diri dengan Gunung Tahan.

Menurut Pak Chu, sekitar awal tahun 1980-an dahulu, suhu di puncak Gunung Tahan sekitar 3 darjah Celcius. Namun, pada hari ini suhunya sudah naik kepada 14 darjah Celsius. Tiada lagi rasa sejuk seperti zaman dahulu di puncak kerana perubahan suhu berikutan faktor pembangunan.

Pak Chu mula mendaki puncak tertinggi Semenanjung Malaysia itu sejak tahun 1979. Hidupnya banyak diabadikan untuk gunung tersebut sementelah Pak Chu juga merupakan malin gunung yang telah membawa ramai pendaki ke puncak setinggi 2187 meter itu dari Taman Negara Pahang.

“Saya mula bawa orang mendaki gunung ini sekitar tahun 1990-an. Ketika itu, yang ramai datang mendaki adalah golongan pelajar universiti,” kata Pak Chu membuka cerita sewaktu ditemui di Kuala Tahan.“Sepanjang pengalaman saya bawa pendaki, boleh katakan hanya sekitar 40 peratus pendaki Eropah yang mampu sampai ke puncak Gunung Tahan. Walaupun ramai daripada mereka dah mendaki macam-macam gunung di luar negara, namun tidak semua mampu menawan puncak Gunung Tahan,” ujarnya.Pelajar Warak Hilang

Pak Chu turut menceritakan satu kejadian yang masih segar dalam ingatannya. Pertengahan tahun 1990-an, pernah dia membawa sekumpulan pelajar lelaki dan perempuan dari Universiti Islam Antarabangsa mendaki Gunung Tahan.

Selalunya, Pak Chu akan membahagikan peserta kepada kumpulan. Dalam kumpulan itu mesti ada lelaki dan perempuan, tidak terhad kepada satu jantina saja. Ini untuk memastikan ada tenaga lelaki bagi membantu bila berdepan sebarang kesukaran ketika pendakian.

“Dalam kumpulan pelajar itu, saya masih ingat seorang pelajar lelaki, namanya Imran Doha. Orangnya kelihatan warak. Dari awal, Imran ini sentiasa ikut dekat dengan saya. Rupa-rupanya, dia tak mahu bercampur dengan pendaki perempuan. Disuruh membantu pun susah dia nak ikut sebab katanya seumur hidupnya dia tak pernah pegang perempuan bukan muhrim,” cerita Pak Chu.Dalam perjalanan turun dari gunung pada hari terakhir, berlaku kejadian aneh apabila tiba-tiba Imran hilang di dalam hutan. Pak Chu turut hairan bagaimana dia boleh hilang sedangkan pelajar itu sentiasa berada tidak jauh darinya. Hilang pula di kawasan sudah begitu hampir ke kaki gunung.

“Saya pun pelik macam mana dia boleh hilang tiba-tiba. Kawasan di mana dia hilang itu pula memang diketahui masyarakat di sini sebagai perkampungan bunian. Orang kata ada tujuh kampung bunian di kawasan tersebut,” kata Pak Chu.

Mujur ketika itu ada orang yang pandai dalam hal begitu lalu membantu untuk mencari Imran. Dikatakan Imran dibawa ‘orang’ di sana kerana tertarik dengan peribadinya yang warak. Mujur hasil ‘berurusan’ dengan ‘orang’ di alam sana, ‘mereka’ setuju untuk mengembalikan Imran semula. Dikatakan yang mengambil si Imran itu adalah orang bunian dari kampung kedua.

“Bila dah jumpa, saya tanya juga pada si Imran tu, macam mana dia boleh hilang tersasar dari kumpulan? Katanya, dia dengar ada suara orang panggil namanya. Dia ikut arah suara tu, sebab itulah hilang. Bila saya tanya apa jadi sepanjang dia hilang, dia tak mahu cerita,” kata Pak Chu yang sudah menjadi pemandu arah Gunung Tahan lebih tiga dekad lamanya.

Misteri lelaki tua dan perempuan mandi di sungai

Hilang semasa mendaki Gunung Tahan bukan perkara baru. Sejak dahulu, selalu kedengaran kisah pendaki yang hilang.

“Ramai yang pernah hilang di kawasan gunung ini. Selalunya beberapa hari dah jumpa. Tapi ada satu kes yang berlaku, seorang pensyarah universiti bangsa India hilang selama 17 hari ketika dalam perjalanan turun,” ujar Pak Chu menceritakan kejadian yang berlaku sekitar awal tahun 1990-an itu.

Mujur pensyarah tersebut jumpa sungai dan mengikut aliran sungai. Dia hanya ditemui pada hari ke-17 kehilangannya apabila penyelamat menemuinya di kawasan sungai. Bila ditanya bagaimana dia boleh tersasar jalan sehingga sesat, pensyarah itu memberitahu dia mendengar ada orang memanggil namanya menyebabkan dia pergi ke arah suara itu.

Cerita Pak Chu lagi, pernah dulu ada sekumpulan budak sekolah menengah mendaki, salah seorang daripada mereka hilang selama empat hari dalam hutan. Bila ditemui, penyelamat menghulurkan makanan dan minuman kerana secara logiknya, sudah tentu dia kelaparan setelah empat hari sesat seorang diri di dalam hutan tanpa bekalan.

Anehnya, budak itu menolak makanan tersebut kerana katanya dia sudah kenyang. Baru sebentar tadi ada orang datang membawakan makanan untuknya. Apa yang membuat semua orang tertanya-tanya, siapa yang memberi budak itu makan? Bahkan, cikgunya sendiri naik hairan.

Pernah juga sewaktu Pak Chu membawa satu kumpulan pendaki yang terdiri daripada dua lelaki dan enam perempuan, mereka bermalam di kem tengah. Tidak jauh dari kem itu ada sebatang anak sungai.

“Awal pagi bila saya bangun, dua lelaki tiada dalam khemah. Kata kawannya, rakan mereka itu turun ke sungai untuk mandi. Tunggu punya tunggu, sudah sejam lebih tak naik-naik juga. Saya pun pergi ke sungai tu. Nampaklah dua pendaki tu sedang duduk tidak jauh dari sungai tak buat apa-apa.

“Saya tanya, korang belum mandi lagi ke? Masa tu mereka terkejut. Mereka jawab, belum mandi lagi sebab ada seorang perempuan sedang mandi di sungai tu. Mereka tunggu perempuan tu habis mandi. Saya ajak mereka ke sungai, tak ada sesiapa pun di situ. Malah, batu di mana mereka kata tempat perempuan itu mandi pun kering saja.

“Bila ditanya, kata mereka nampak ada perempuan rambut panjang sedang mandi di atas batu itu. Tapi, wajahnya tidak kelihatan. Siapa agaknya yang budak-budak tu nampak sampai sejam lebih menunggu padahal tak ada kesan orang mandi pun di situ,” persoal Pak Chu dengan senyum sinis.

Itu belum lagi kisah khemah Pak Chu diserbu dua pendaki wanita di tengah malam. Ketika itu, Pak Chu membawa sekumpulan pelajar perempuan dari sebuah universiti.

Sewaktu bermalam di salah satu kem rehat di hutan tersebut, Pak Chu yang sedang tidur jam 2.00 pagi dikejutkan apabila dua pelajar wanita menyerbu masuk ke khemahnya ketakutan.

“Khemah saya tu kecil, tiba-tiba saja mereka rempuh masuk sampai nak roboh. Bila ditanya, mereka cerita ada orang tua datang ke khemah mereka dan memarahi mereka sambil bertanya, apa kamu buat di sini?

“Sebab takut dengan orang tua itu, berlari mereka berdua meluru masuk ke khemah saya. Siapa orang tua itu yang tiba-tiba muncul di tengah hutan, tiada siapa tahu,” kata Pak Chu yang memberitahu, orang tua misteri itu hanya memunculkan diri pada sesetengah pendaki sahaja.

Malah, itu bukan kali pertama kejadian khemah Pak Chu dimasuki pendaki yang dibawanya kerana ketakutan sewaktu bermalam di kawasan gunung tersebut.

Pernah berlaku, seorang pendaki lelaki di tengah malam berlari sehingga terjatuh dan meluru masuk ke dalam khemah Pak Chu. Katanya, entah dari mana muncul seorang lelaki tua berjubah dan berkopiah putih memarahinya dan bertanya apa dilakukannya di situ.

Apakah lelaki misteri itu dan perempuan yang mandi di sungai yang dilihat para pendaki adalah ‘penduduk’ di situ?

Menurut Pak Chu, penduduk di sini percaya memang ada perkampungan bunian di kawasan pergunungan ini. Malah, Pak Chu sendiri sering mendengar pelbagai pengalaman aneh dan misteri yang dilalui para malin Gunung Tahan yang lain.

Cuma, Pak Chu sendiri tidak pernah berdepan atau mengalami perkara aneh walau sudah berpuluh tahun dia berulang alik membawa pengunjung ke puncak gunung tersebut.

“Kawasan sini ada banyak perkampungan bunian. Kawan-kawan saya yang sama mendaki pun ramai ceritakan macam-macam kejadian pelik mereka alami, jumpa itu, jumpa ini.

“Sepanjang pengalaman saya berpuluh tahun keluar masuk hutan panjat gunung, belum pernah sekali pun saya alami benda pelik, diganggu atau nampak ‘penghuni’ gunung itu. Tapi, itu bukan bermakna saya tidak percaya. Saya percaya ‘mereka’ ada tapi saya tidak mahu ambil tahu. Prinsip saya, aku tak ganggu kau, kau jangan ganggu aku,” kata Pak Chu mengakhiri perbualan kami petang itu.Nota : Pak Chu kini tidak lagi membawa pendaki ke puncak Gunung Tahan kerana faktor usia. Namun, dia masih membawa pengunjung untuk melakukan aktiviti di sekitar Kuala Tahan.

*Jika anda ingin melakukan pelbagai aktiviti menarik yang ada di Taman Negara Pahang, boleh hubungi Ismail Travel & Tours di talian 017-9577914 (Abdullah).

Baca Juga:Sekian lama menyepi, Raja Bomoh Malaysia buat ‘magic’ jampi daun pisang keluar duit RM50Suami beli patung seks kerana isteri tolak hubungan intim tak mahu mengandungPemilik stesen minyak rendam buku jualan minyak diesel dalam baldi setelah diserbu KPDN

About Mat Lan Editor

Check Also

lelaki-cuba-tunjuk-hebat-buat-skil-‘drift’-terbabas-langgar-kereta

Lelaki cuba tunjuk hebat buat skil ‘drift’ terbabas langgar kereta

Polis menahan pemandu kereta Toyota Supra yang melakukan aksi ‘drift’ sehingga terbabas melanggar sebuah kenderaan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recent Comments